ALOR GAJAH - Gara- gara menjual tomato dengan harga tinggi mencecah lebih RM14 sekilogram, sebuah pasar mini di Masjid Tanah dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.
Pengarah KPDN negeri, Norena Jaafar berkata, pihaknya telah membuat risikan selepas menerima aduan berkenaan harga tomato yang didakwa dijual dengan harga agak mahal iaitu RM14.25 sekilogram.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati pasar mini terbabit tidak meletakkan sebarang tanda harga bagi buah tersebut dan pihaknya telah mengambil tindakan Kompaun On The Spot (KOTS) sebanyak RM200.
Tambahnya, kompaun yang dikeluarkan itu mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.
"Hasil soal siasat yang dilakukan, pemilik turut mengakui menjual tomato kepada pelanggan pada harga itu dan kita telah arahkan supaya meletakkan kadar yang lebih munasabah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, pemilik pasar mini terbabit juga memberikan alasan tomato yang dijual itu adalah gred A dan harga diperoleh daripada pihak pembekal dengan harga agak tinggi.
Ujarnya, pemilik pasar mini telah bersetuju menurunkan harga tomato kepada RM8.99 sekilogram selepas diberikan saranan oleh KPDN.