Jawi sambut jubli emas, tumpu kukuhkan syariah, akhlak dan akidah

Iklan
Jawi ditubuhkan pada 1 Februari 1974. Gambar kecil: Antara pengisian program sambutan Jubli Emas Jawi sepanjang tahun ini.

KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memilih slogan 'Membangun Khaira Ummah' sebagai tema sambutan jubli emas pada 1 Februari 2024 depan.

Jawi memaklumkan, tema itu membawa maksud matlamat tertinggi yang ingin dicapai selaras dengan visi yang mendambakan kesejahteraan ummah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Khaira Ummah hanya dapat dilahirkan apabila gerak kerja dakwah iaitu amar makruf dan nahi mungkar diterapkan dalam masyarakat serta Islam menjadi 'way of life' (cara hidup).

"Dalam konteks tersebut, azam dan tekad Jawi adalah untuk memperluas fungsi dan peranan selaras dengan kemaslahatan dan dinamika masyarakat iaitu kemampuan beradaptasi dengan perubahan.

Iklan

"Perkara utama yang akan diberikan perhatian ialah proses pengukuhan syariah dan akhlak serta pemantapan akidah berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, Jawi memaklumkan lebih 28 program istimewa telah dirancang untuk manfaat orang ramai sempena ulang tahun ke-50 penubuhan agensi agama itu.

Iklan

"Wilayah Persekutuan Berselawat merupakan acara pembuka tirai bagi sambutan tersebut yang akan diadakan pada 31 Januari 2024 (Rabu) di Dewan Solat Utama, Masjid Wilayah Persekutuan.

"Sesi Tausiyah pada majlis berkenaan akan disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin. Turut diadakan Doa Untuk Malaysia serta bacaan selawat dan qasidah yang menampilkan kumpulan nasyid Inteam dan Almawlid dengan sasaran kehadiran 3,000 peserta," katanya.

Sebagai info, Jawi ditubuhkan pada 1 Februari 1974 dan terus berkembang dengan penubuhan cawangan Labuan pada 16 April 1984 dan Putrajaya pada 1 Ogos 2001 seiring kemaslahatan umat Islam.

Jawi kemudian diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 2018 selaras dengan perubahan dan hala tuju kepemimpinan negara.

Agensi itu berperanan sebagai peneraju pengurusan hal ehwal Islam di Wilayah Persekutuan diperluas melalui tujuh teras strategik meliputi dakwah, pendidikan, tadbir urus masjid dan surau.

Jawi turut berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang syariah, kekeluargaan Islam, penyelidikan, serta pengurusan organisasi dan pembangunan fizikal.