ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengingatkan pihak tertentu agar tidak memainkan politik sempit kerana ia hanya akan menyerlahkan kebodohan sendiri.
Sanusi berkata, perbuatan seperti itu adalah politik yang tidak matang dan merugikan.
Menurutnya, ia terbukti apabila ada pihak yang memainkan isu pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda dengan menyalahkan Kedah, sedangkan perkara tersebut tidak berlaku.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mengesahkan tiada kegiatan pembalakan dan penerokaan haram di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda sehingga menjejaskan sumber air domestik seperti didakwa sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
Pada Ahad, Nik Nazmi dilaporkan berkata, laporan Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) mendapati tiada sebarang kegiatan melanggar undang-undang di kawasan berkenaan terutama berdekatan sumber air di Tasik Muda.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memantau Hutan Simpan Ulu Muda berikutan ia kawasan sensitif kerana menjadi sumber air utama penduduk di tiga negeri.
Sanusi tegaskan, apa yang beliau jelaskan sebelum ini berhubung dakwaan terbabit adalah berlandaskan fakta.
"Fakta yang benar hanya ada satu set saja. Selama ini, kita bercakap berdasarkan fakta itu. Kita akan bersama dalam kebenaran walaupun kita berada di dua kutub bumi yang berbeza,” ujarnya.
Sebelum ini, Sanusi menafikan dakwaan mendapan selut berhampiran empangan Tasik Muda berpunca daripada aktiviti pembalakan, sebaliknya ia disebabkan oleh pasir, tanah dan serpihan kayu dihanyutkan empat sungai utama yang menyalurkan bekalan air ke empangan tersebut.
Ia susulan NGO alam sekitar, RimbaWatch mendakwa kegiatan pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menyebabkan Tasik Muda, yang menjadi sumber air utama pengguna Pulau Pinang dan Kedah mengalami mendapan selut.
Kajian itu dilakukan melalui pemantauan imej satelit yang mendapati Tasik Muda mengumpul mendapan selut sejak Mac tahun lalu dan semakin membesar pada Oktober lepas.
Masalah itu dijangka menjejaskan kira-kira 80 peratus sumber air ke Pulau Pinang yang bergantung sepenuhnya kepada bekalan dari kawasan tadahan Ulu Muda yang mengalir melalui Sungai Muda.
Mengulas sama ada Kedah menjadi sasaran politik pihak tertentu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tidak menolak kemungkinan dan ia didorong oleh agenda tertentu.
"Usaha mereka untuk bina persepsi buruk tidak akan berhenti. Bukan saja oleh mereka yang jauh dari negeri ini, termasuk mereka yang tinggal dan pernah jadi kerajaan di negeri ini.
"Itulah politik tidak matang dan tolol. Kita akan selamat dalam dunia politik apabila berpegang kepada fakta yang benar, walaupun panas dan terhimpit.
"Biarlah mereka dengan politik tidak matang ini, akhirnya rakyat akan menghukum kebodohan mereka itu,” katanya lagi.