Perkeso peruntukkan RM4 juta program cegah kemalangan

Iklan
SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperuntukkan agihan geran bernilai RM4 juta kepada 37 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan institusi lain sebagai langkah progresif menangani insiden bencana kerja.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato Seri Abdul Rahman Mohammad, berkata, peruntukan geran tahunan sejak 2001 itu bertujuan memperkasa kesedaran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dan mengurangkan kadar kemalangan, seterusnya meningkatkan kesejahteraan golongan pekerja termasuk mereka yang bekerja sendiri dan suri rumah.

"Data interim Perkeso bagi tahun 2023 merekodkan 82,876 kes kemalangan telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 44,422 kes adalah kemalangan industri atau kemalangan di tempat kerja manakala 38,454 kes adalah kemalangan perjalanan.

"Sepanjang tempoh yang sama, sebanyak 1,060 kes kemalangan maut dilaporkan di mana punca kemalangan industri menyumbang kepada 310 kematian, manakala kemalangan perjalanan telah menyebabkan 750 pekerja maut.

Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


"Jika dilihat dari segi purata untuk sepanjang 2023, sebanyak dua kes kematian direkodkan setiap hari membabitkan pekerja yang dalam perjalanan ke tempat kerja,” katanya pada ucaptama Majlis Penyerahan Geran Bantuan Kewangan Perkeso kepada Institusi dan NGO Tahun 2024, di Putrajaya, hari ini.

Turut berlangsung pada majlis itu adalah Pelancaran Garis Panduan Pengurusan Hilang Upaya di Tempat Kerja Kepada Majikan yang menjadi sebahagian daripada program Return To Work (RTW), demi membantu pelaksanaan latihan dalam organisasi kepada pekerja yang terbencana untuk kembali bekerja.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.



Untuk rekod, seramai 66,441 orang berinsurans yang mengalami hilang upaya akibat kemalangan dan penyakit kembali bekerja sejak RTW diperkenalkan pada 2007.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, sebanyak 423 aktiviti meliputi latihan kompetensi, seminar dan promosi media akan dilaksanakan oleh 22 NGO serta institusi dengan pecahan peruntukan kewangan hampir RM3 juta, berikutan perangkaan kemalangan yang dicatatkan.

"Sebanyak 21 program latihan intensif kepada pekerja akan dijalankan oleh 15 NGO dan institusi, dengan implikasi kewangan dianggarkan bernilai lebih RM1 juta,”katanya.