Lonjak kembali harga getah tempatan

Iklan
Pengerusi RISDA, Manndzri menyampaikan hadiah kepada pencipta logo TS++ dan SGM++ kepada Muhammad Firdaus Shamsul Bahrin pada majlis Amanat Pengerusi RISDA Tahun 2024 di Ibu Pejabat RISDA pada Isnin.

KUALA LUMPUR - Industri getah tempatan perlu diberi tambah nilai supaya harga getah yang kini merosot boleh dilonjak kembali menerusi beberapa strategi transformasi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Pengerusinya, Manndzri Nasib berkata, transformasi itu penting kerana masyarakat hari ini mula kurang minat dengan industri berkenaan susulan harga getah semasa menyusut kepada RM2.80 berbanding sebelum ini yang mencecah RM7 ke RM8 sekilogram.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beberapa transformasi harus dilakukan segera, sekali gus dapat menarik kembali minat penoreh getah asal yang kebanyakannya kini beralih kepada tanaman lain seperti sawit dan sebagainya.

"Industri getah ini bukan masalah RISDA sahaja, tetapi ia juga masalah kepada negara yang perlu ditentukan hala tujunya.

Iklan

"Industri getah ini perlu dipertahankan supaya getah ini bernilai tambah, kita tidak lagi boleh jual getah dalam bentuk mentah, sebaliknya kita perlu mengeksport dalam bentuk produk akhir" katanya.

Tambah beliau, penggunaan teknologi juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya di samping pengurusan risiko yang berkesan yang membolehkan industri getah berkembang.

Iklan

Manndzri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Pengerusi RISDA di bangunan RISDA, di sini pada Isnin.

Manndzri ersama Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal (tiga dari kiri) bergambar bersama pengurusan melancarkan Tema Warga RISDA Madani pada Majlis Amanat Pengerusi RISDA Tahun 2024.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan), Ahmad Zainal Abdullah serta Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Haniza Abdul Shukor.

Pada masa sama, Manndzri turut menyampaikan Anugerah khidmat Cemerlang (APC) kepada kakitangan RISDA serta menyampaikan Anugerah Pertandingan Satu Staf, Satu Juzuk serta Projek Slim Possible dalam meningkatkan imej RISDA, seterusnya bagi melahirkan warga kerja yang lebih produktif dan kreatif melalui keseimbangan rohani dan jasmani.

Kekangan

Mengulas lanjut, Manndzri turut berkata, industri getah pada hari ini mengalami kekangan dari segi tenaga kerja dan hanya mengharapkan 86 peratus daripada peserta RISDA sahaja.

"Faktor paling besar industri ini semakin merosot adalah kerana ramai yang tidak berminat disebabkan harga getah itu menurun, mereka rasa tidak berbaloi untuk turun menoreh. Padahal, kita ada 425,000 hektar kebun getah yang sedia ada tidak ditoreh.

"Kita lemah dari segi produktiviti dan ia satu perkara yang amat merugikan. Maka sebab itu, kita ada program menarik minat generasi muda untuk terlibat dengan aktiviti menoreh getah," ujarnya lagi.

Program Tanam Semula Getah

Jelasnya, Program Tanam Semula Getah merupakan program utama (entry point) kepada semua peserta yang berminat bagi menerima 12 komponen bantuan sokongan yang bernilai sehingga RM32,800 selain daripada nilai bantuan utama.

"Melalui Program Tanam Semula Getah itu sendiri, peserta layak menerima bantuan pembangunan kebun mereka bagi penanaman getah sebanyak RM13,710 sehektar bagi kawasan di Semenanjung, RM14,805 sehektar di Sarawak dan RM14,955 sehektar di Sabah.

"Manakala, 12 komponen yang terlibat dalam menggalakkan peserta menguruskan kebun getah dengan baik dan konsisten, bantuan agromakanan, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET),” katanya lagi.

Selain itu jelas beliau, bantuan Musim Tengkujuh (BMT), Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil (TKKPR) dan lain-lain disediakan sebagai inisiatif agar pekebun kecil getah dapat mengeluarkan hasil getah dengan baik di samping dapat meningkatkan pendapatan.

"Program agromakanan dengan bantuan RM20,000 disediakan untuk pekebun kecil mengusahakan skop ternakan dan tanaman jangka pendek yang melibatkan bantuan input pertanian, baka ternakan, infrastruktur dan pemasaran.

"Bagi Program AET, ianya melibatkan skim AET Belia, Insentif Start-Up Individu dan Insentif Nano. Bantuan dengan nilai RM10,000 disediakan meliputi geran mesin, peralatan, penyediaan premis, bahan mentah, insurans dan sebagainya,” ujarnya.

Manndzri berkata, melalui BMT, sebanyak RM800 disediakan kepada setiap pekebun kecil dan penoreh yang berkelayakan yang diagihkan melalui empat fasa bayaran.

"RISDA turut menyediakan Tabung Khairat Kematian Pekebun Kecil kepada peserta yang meninggal dunia. Sebanyak RM2,000 disediakan kepada waris pekebun kecil bagi meringankan beban keluarga yang ditimpa musibah,” jelasnya.

​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​​REAKSI PENERIMA ANUGERAH

MOHAMMAD ZULHELMI

"Tempoh masa yang diberikan untuk menghafaz tujuh surah selama enam bulan saya gunakan sebaik mungkin untuk cabar diri saya mencapai hingga ke tahap ini.” - Johan Pertandingan Hafazan Satu Staf, Satu Juzuk (Lelaki), Mohd Zulhelmi Mohammad Aznan, 27.

NUR SHAHIDATUL SHAMIRA

"Ini bukan kali pertama RISDA anjurkan cuma bezanya kali ini ia memang rezeki saya kerana setiap peserta wajib menghafaz surah dari mula hingga akhir." - Johan Pertandingan Hafazan Satu Staf, Satu Juzuk (wanita), Nur Shahidatul Shamira Md Tajudin, 30.

MOHAMAD IQBAL

"Sebelum ini berat badan saya 84.5 kilogram selepas tiga bulan menyertai pertandingan ini berat badan saya turun menjadi 60.16 kilogram, badan pun jadi lebih segar dan sihat.” - Johan Pertandingan Projek Slim Possible (lelaki), Muhammad Iqbal Mohamed Hassan,47.

NURUL SYAFIQAH

"Sebelum ini berat badan saya 72.1 kilogram kategori obesiti, saya jaga pemakanan dahulu kemudian minggu kedua saya buat senaman sekarang dah turun 55 kilogram jadi tiada yang mustahil kalau kita bersungguh-sungguh.” - Johan Pertandingan Projek Slim Possible (Wanita), Nurul Syafiqah Masngor,30.