SKUAD hoki lima sebelah (5s) lelaki negara meneruskan momentum positif apabila mara ke saingan suku akhir Kejohanan Hoki 5s Piala Dunia di Muscat, Oman pada Isnin.
Kejayaan tersebut diraih selepas anak-anak buah Wallace Tan cemerlang menumpaskan lawan terakhir Kumpulan D Fiji 8-3.
Kemenangan tersebut menyaksikan Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan kedua selepas berkongsi tujuh mata bersama Oman.
Oman yang menewaskan Amerika Syarikat 6-4 pada satu lagi perlawanan memiliki kelebihan satu gol untuk berada di kedudukan pertama.
Pemain sensasi, Syarman Mat Tee yang sudah meledak empat gol buat negara menzahirkan rasa syukur kerana berjaya membantu pasukan berada dalam kelompok lapan skuad terbaik dan teruja dapat beraksi pada edisi pertama kejohanan tersebut.
"Syukur alhamdulillah kami berjaya meraih tiga mata dan terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong kami.
"Kami mengikut setiap taktikal serta perancangan yang disusun oleh jurulatih dan kami berjaya meraih kemenangan pada perlawanan terakhir kumpulan ini,” katanya yang menyumbang dua gol dalam aksi pada Isnin.
Dalam perlawanan itu, Malaysia menjaringkan lapan gol menerusi gerakan padang yang bermula dengan jaringan Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee pada minit ketiga sebelum Syarman menggandakan gol untuk mendahului 2-0 pada minit kelapan.
Berselang dua minit, Kapten Malaysia, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menokok jaringan diikuti gol kedua peribadi Syarman pada minit ke-13.
Namun beberapa saat selepas jaringan itu, Adrian Smith mencetak gol pertama Fiji, namun Mohamad Akhimullah menutup aksi separuh masa pertama dengan Malaysia selesa mendahului 5-1.
Tiga minit selepas suku ketiga bersambung, Jerome Edwards cuba merapatkan kedudukan buat Fiji selepas menjaringkan gol padang, namun Malaysia kekal tenang menjaringkan gol keenam pada minit ke-22 menerusi Muhammad Firdaus Omar.
Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin berjaya mencetak nama selaku penjaring ketujuh Malaysia pada minit ke-26 sebelum Fiji sekali lagi mengejar dengan jaringan ketiga menerusi Hector Jnr Smith pada minit ke-28.
Jaringan tersebut bagaimanapun tidak menggugat kedudukan Malaysia untuk keluar dengan tiga mata selepas beberapa saat kemudian, Mohamad Akhimullah meledak gol kelapan sekali gus menutup aksi dengan kemenangan 8-3.
Selaku naib juara kumpulan, Malaysia akan menanti juara Kumpulan C antara Trinidad & Tobago atau Kenya.