‘Tuanku sentiasa iktiraf usaha penggiat seni tanah air’- Freddie

Iklan
Seri Paduka Baginda berdua sentiasa prihatin dengan nasib anak seni dan kebanyakan penggiat seni tanah air turut mendapat penghargaan daripada Istana Pahang.Foto Bernama

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sentiasa menyokong dan mengiktiraf usaha penggiat seni tanah air.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez berkata, ia terbukti apabila ramai pemain industri kreatif menerima pingat penghargaan daripada Istana Pahang.

Iklan
Iklan

"Sebelum ini, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pernah membantu Karyawan dengan menjadi penaung bagi projek amal untuk membantu mengutip dana sumbangan.

Freddie Fernandez

"Saya lihat baginda berdua sentiasa prihatin dengan nasib anak seni dan kebanyakan penggiat seni tanah air turut mendapat penghargaan daripada Istana Pahang.

Iklan

"Ini bermakna Istana Pahang itu sentiasa mengenang jasa artis yang telah menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, menurut Freddie, selain mesra bersama rakyat, baginda berdua sering turun padang melihat keadaan artis veteran yang semakin uzur selain memberi sumbangan kepada mereka.

Iklan

Ujarnya, rakyat di negara ini bertuah mempunyai pemimpin yang berjiwa rakyat dan sentiasa menyantuni masyarakat tanpa mengira pangkat mahupun darjat.

"Sebelum ini semasa Allahyarham M Rajoli dan mendiang Yusof Chong terlantar sakit, keluarga kerabat dari Istana Pahang sentiasa datang untuk jumpa dengan mereka serta memberi sumbangan.

"Kami amat bertuah kerana Seri Paduka Baginda seorang yang prihatin dan saya amat menghargai bantuan daripada pihak istana terhadap artis,” katanya.


Al-Sultan Abdullah jadi lambang penyatuan rakyat

SHAH ALAM - Institusi diraja terus menjadi lambang penyatuan rakyat berbilang kaum di Malaysia meskipun terdapat konflik politik dalam tempoh lima tahun pemerintahan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ia terbukti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu yang menyaksikan Seri Paduka Baginda menitahkan supaya membentuk Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik.

Kok Seong

Menurutnya, dalam mendepani pelbagai cabaran, Al-Sultan Abdullah berjaya memimpin rakyat dan negara dengan baik serta kekal tenang.

"Kebijaksanaan Al-Sultan Abdullah terserlah sewaktu menitahkan supaya wujudkan satu kerajaan yang stabil dan ini mencerminkan bahawa kesejahteraan rakyat menjadi keutamaan Tuanku.

"Kita dapat lihat fungsi perpaduan pada institusi diraja bukan sekadar dongengan tetapi ia direalisasikan melalui perwatakan Tuanku yang sentiasa memikirkan kesejahteraan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, lawatan ‘Kembara Kenali Borneo’ yang diadakan selama 11 hari, menunjukkan Seri Paduka Baginda begitu prihatin tentang keadaan rakyat sehingga sanggup memandu melebihi 2,000 kilometer (km) untuk bertemu masyarakat tempatan.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang berjiwa rakyat.Gambar fail Bernama

Bahkan katanya, pemerintahan Al-Sultan Abdullah mempunyai keistimewaan tersendiri dan akan terus diingati sebagai pemimpin berjiwa rakyat.

"Institusi diraja merupakan lambang perpaduan dan dalam konteks raja dan rakyat berpisah tiada merupakan ungkapan yang sesuai selama lima tahun pemerintahan Tuanku,” ujarnya.