Lambaian kasih buat Agong hari ini

Iklan
Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersemayam di singgahsana negara sejak 31 Januari 2019 mahu rakyat Malaysia terus bersatu padu dan bekerjasama memajukan Malaysia. Foto Bernama

SUASANA lambaian kasih Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berlangsung pada Selasa dijangka meriah dengan kehadiran orang ramai di sepanjang laluan Jalan Parlimen sehingga arah Bulatan Dato Onn.

Ia susulan Al-Sultan Abdullah akan menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta sebagai Ketua Utama Negara sejak 31 Januari 2019.

Iklan
Iklan

Tampuk pemerintahan negara akan diambil alih oleh Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam istiadat penuh tradisi di Istana Negara pada Rabu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tujuh laluan di sekitar ibu negara akan terlibat dengan penutupan penuh, manakala 13 laluan akan ditutup secara berperingkat pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, laluan berkenaan membabitkan Jalan Sultan Abdul Halim, Jalan Kuching, Jalan Tun Razak, Jalan Damansara dan Jalan Travers.

Seperti yang ramai tahu, perwatakan Al-Sultan Abdullah sebagai pemimpin berjiwa rakyat sudah pasti terpahat dalam ingatan semua.

Iklan

Terkenal dengan sifat prihatin kepada rakyat, Yang di-Pertuan Agong tidak kekok mencemar duli dan menghulur bantuan kepada mangsa kemalangan ketika dalam perjalanan ke Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri di Istana Melawati, Putrajaya pada Jun 2019.

Selain itu, baginda sekali lagi mencemar duli turun daripada kenderaan rasmi bagi memberi bantuan kepada mangsa kemalangan dalam kejadian di jalan susur dari pintu Istana Negara ke Jalan Tuanku Abdul.

Itu antara beberapa situasi yang dapat menggambarkan karisma pemimpin yang mendepani pelbagai cabaran krisis negara termasuk pandemik Covid-19 dan kemelut politik yang menyaksikan pertukaran sebanyak empat Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri berlainan.

Sudah tentu, tarikh 30 Januari itu akan menjadi lembaran baharu dan detik bersejarah negara menyaksikan pertukaran pemerintahan dalam tempoh 48 jam seperti mana yang diamalkan oleh sistem raja-raja Melayu sejak dahulu lagi.