LONDON - [DIKEMAS KINI]"Britain sepatutnya mengelakkan sebarang konfrontasi berbahaya dengan Rusia.
”Amaran itu diberikan Duta Moscow ke London, Andrei Klein pada akhir minggu lalu selepas ketua tentera Britain menggesa 'kerahan tentera' kononnya sebagai persediaan untuk berperang dengan Kremlin.
"Tiada sebab membuat gesaan sedemikian. Ia adalah cubaan untuk mengerahkan pasukan tentera yang berisiko mencetuskan konflik ketenteraan antara kedua-dua negara.
"Ia berlaku di tengah-tengah situasi politik yang tegang di Eropah. Kami mengambil serius desakan persediaan untuk berperang dengan Rusia,” ujarnya.
Beliau juga menasihatkan 'ahli politik muda' supaya mengkaji dan mengambil pengajaran daripada sejarah.
"Tiada siapa dapat kalahkan Moscow. Rakyat Britain perlu sentiasa mengingati sumbangan Kesatuan Soviet bersama sekutunya yang menentukan kemenangan terhadap tentera Nazi di Jerman.
"London sepatutnya memikirkan cara untuk mewujudkan sistem perhubungan antarabangsa yang diperbaharui berdasarkan kesaksamaan, saling menghormati dan mengambil kira kepentingan keselamatan,” tegasnya.
Klein turut menyelar ahli politik tiada pengalaman yang tidak pernah menghadapi situasi peperangan sebenar.
"Desakan itu sebenarnya bertujuan mendapatkan dana tambahan untuk sektor pertahanan negara. Ia juga sebagai cubaan meraih sokongan umum bagi berpihak kepada tindakan ketenteraan,” katanya lagi.
Kenyataan balas itu diberikan Klein setelah Ketua Angkatan Tentera Britain, Jeneral Sir Patrick Sanders menyatakan rakyat negara itu perlu bersedia untuk berkhidmat dalam tentera sekiranya berlaku perang dengan Rusia.
Sanders mendakwa kempen pencerobohan Moscow di Kiev kononnya 'petanda' sesuatu bakal tercetus pada masa akan datang.
Beliau kemudiannya menyarankan pelan melatih 'askar rakyat' untuk peperangan darat malah Sanders mempersoalkan saiz pasukan tentera dan menggesa langkah pemodenannya.
Amaran NATO undang resah
Sementara itu, jurucakap Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak berpendapat perbincangan mengenai 'senario hipotesis' tentang konflik masa depan tidak membantu meredakan kebimbangan di blok Eropah.
"Kerajaan tidak berhasrat memperkenalkan kerahan tenaga,” ujar Max Blain.
Pada awal bulan lalu, Ketua Jawatankuasa Tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Rob Bauer pula berkata, askar dan orang awam di Eropah perlu bersedia untuk menghadapi kemungkinan perang bersama Rusia.
Peringatan itu diberikan ketika NATO mengadakan latihan ketenteraan terbesar sejak Perang Dingin.
Steadfast Defender 2024 yang disertai kira-kira 90,000 anggota tentera dari negara anggota perikatan itu bakal berlangsung sehingga Mei depan.
Selain itu, dokumen Pentagon juga mendedahkan Amerika Syarikat (AS) bercadang memindahkan senjata nuklear ke Britain selepas tempoh 15 tahun yang dibuat berdasarkan 'penilaian melulu' sekutu Barat terhadap ancaman Moscow.
Pada Februari 2022, Rusia melancarkan 'operasi khas' di Ukraine sebagai usaha menyekat peluasan NATO ke Eropah Timur malah tindakan Barat menghantar senjata ke Kiev turut menyemarakkan lagi api peperangan yang sudah membara sejak dua tahun lalu. - Agensi