Kerjaya pak andam tidak ubah perwatakan menjadi lembut

Iklan
Mohd Riduwan memastikan busana dan aksesori dalam keadaan baik.

KUANTAN - Dek kerana minat mula bercambah dalam dunia solekan, membuatkan anak peneroka Felda Bukit Kuantan di sini membuat keputusan untuk menjadi pak andam sejak 15 tahun lalu.

Mohd Riduwan Shah Aziz, 39, berkata, pentas solekan ini merentas jantina, namun ia bukan alasan berubah perwatakan menjadi lembut.

Iklan
Iklan

Dia mengakui tidak terikut-ikut dengan perbuatan itu kerana sering diingatkan oleh ahli keluarga dan rakan terdekat.

Mohd Riduwan

Malah niatnya hanya untuk mencari sesuap nasi dengan menghasilkan penampilan wajah yang tampak cantik pada majlis tertentu sama ada majlis perkahwinan, pertunangan dan sebagainya.

Iklan

"Saya tidak nafi ada yang berubah ke arah itu, tapi alhamdulillah saya tidak terjebak (tidak ikut) sebab orang terdekat selalu berikan peringatan.

"Bila ada nasihat, kita tidak alpa dan tahu batas-batasnya dalam diri dan paling penting niat kita dalam mencari rezeki," katanya ketika ditemui di butiknya di Felda Bukit Kuantan pada Isnin.

Iklan

Mohd Riduwan memberitahu, batasan aurat pengantin juga dititikberatkan bagi memastikan pelanggan selesa menggunakan perkhidmatannya.

Mohd Riduwan melihat koleksi gambar kahwin pelanggan yang pernah menggunakan khidmatnya.

Bukan itu sahaja, dia turut memberikan kepada tukang rias wanita, jika pelanggan enggan menggunakan khidmatnya.

"Kalau pelanggan mahu guna khidmat (solekan) saya akan pakai sarung tangan dan aurat mereka tertutup. Setakat ini, saya tiada masalah, ada pelanggan yang boleh terima dengan cara ini.

"Tapi kalau ada yang bimbang (pasal aurat). Saya akan serahkan kepada tukang rias wanita. Jadi, di sini, saya boleh berkongsi rezeki dengan orang lain," ujarnya yang menjadi pak andam selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ujar Mohd Riduwan, sokongan daripada ahli keluarga dan rakan-rakan menjadi penguat kepada dirinya sehingga mampu bertahan hampir 15 tahun.

Dia juga mengakui tidak pernah menerima ejekan dan cemuhan sama ada daripada rakan mahupun penduduk sekitar.

Tambahnya, sokong itu menyebabkan dirinya berani untuk mengembangkan lagi perniagaan sedia ada.

Mohd Riduwan menyusun barang solekan.

"Jadi, saya bukan hanya sediakan khidmat solekan, tapi juga menyediakan khidmat sewa baju dan pelamin.

"Selain itu, saya juga ada menyediakan perkhidmatan katering bersama ibu saya,” katanya yang memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 bergantung kepada keadaan.

Menjadikan Alha Alfa dan Mua Bellaz sebagai sumber inspirasi, Mohd Riduwan memberitahu, kerjaya pak andam kini turut menjadi pilihan kaum lelaki.

"Pak andam yang saya kenal ramai juga. Malah ada juga yang datang berjumpa saya untuk mendalami ilmu menjadi pak andam,” jelasnya.

Mohd Riduwan sedang membetulkan busana pengantin pada patung di butik miliknya di Felda Bukit Kuantan.

Menjawab cabaran dihadapi, Mohd Riduwan berkata, persaingan daripada segi harga terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 sebelum ini antara cabaran paling besar perlu ditempuh.

Katanya, perniagaan pada ketika itu merudum dan tukang rias serta pemilik butik menawarkan harga murah.

"Selepas PKP pula, rata-rata pelanggan sudah mula hendak berjimat cermat dan mengambil pakej yang perlu sahaja.

"Jadi saya kini sedang berusaha untuk bangkit semula daripada kejatuhan dengan mencuba membuat pelbagai promosi bagi menaikkan kembali perniagaan saya,” luahnya.