PENGENDALI Palestin, Makram Daboub berkata, dia berbangga dengan pasukannya walaupun gagal mara ke pusingan seterusnya pada Piala Asia selepas tunduk 1-2 kepada tuan rumah dan juara bertahan, Qatar pada Selasa.
Palestin mara ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam tiga Piala Asia dan telah menikmati sokongan padu semasa kejohanan itu daripada peminat di Qatar.
Pertemuan 16 terakhir di utara Doha berlangsung dengan latar belakang perang Israel-Hamas di wilayah Palestin di Gaza.
Beberapa pemain Palestin telah kehilangan orang tersayang atau keluarga terperangkap di Gaza, dan pasukan itu terpaksa untuk berlatih dan bermain perlawanan di luar negara menjelang pertandingan tersebut.
Daboub berkata, pemainnya telah memberikan segala-galanya walaupun dalam keadaan yang sangat sukar.
"Saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka. Mereka telah memberikan segalanya untuk bola sepak Palestin,
"Saya amat berbangga dengan pasukan saya. Mereka mempunyai cita-cita besar dan mereka sentiasa berbangga untuk mewakili rakyat Palestin," katanya.
Seramai hampir 65,000 orang di Stadium Al-Bayt bersorak gembira untuk Qatar tetapi mereka juga menyatakan sokongan untuk Palestin.
Oday Dabbagh dari Palestin mengejutkan penonton dengan membuka jaringan pada minit ke-37.
Dia dan rakan sepasukannya meraikannya dengan menyilangkan tangan dalam isyarat gari untuk melambangkan nasib rakyat Palestin.
"Mesej kami adalah mesej berganda -- ia mesej sukan dan mesej kepada rakyat kami.
"Rakyat Palestin sangat bersemangat dan kami mahu menggembirakan mereka. Kami minta maaf kerana tidak dapat melakukannya malam ini," kata Daboub