KUALA LUMPUR - Liputan media bagi semua acara dan Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat menyeluruh dan amat baik.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, liputan media arus perdana dan alternatif serta penggunaan platform media sosial membantu mempamerkan keunikan adat istiadat serta sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
Katanya, peranan media amat penting untuk menyebar luas peristiwa penting dan bersejarah untuk tatapan rakyat Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
"Saya amat berpuas hati dan bangga dengan usaha rakan-rakan media untuk liputan semua acara sempena keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong...kita meraikan sistem Raja Berperlembagaan.
"Saya percaya kita (media) berjaya memainkan peranan masing-masing di media arus perdana dan alternatif, malah kita lihat pelbagai kandungan di media sosial (berkaitan acara keberangkatan balik Seri Paduka)...syabas dan terima kasih warga media,” katanya kepada Bernama di Dataran Parlimen pada Selasa.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Dataran Parlimen bagi istiadat rasmi Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua.
Ketibaan pasangan diraja itu disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof bersama pasangan masing-masing.
Turut hadir memberikan penghormatan kepada Seri Paduka di istiadat itu adalah Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, tetamu kenamaan serta wakil kedutaan asing.
Sementara itu, Duta Besar Perancis ke Malaysia, Axel Cruau berkata, Istiadat Keberangkatan Balik Al-Sultan Abdullah yang berlangsung hari ini disambut dengan meriah, sekali gus mencerminkan Seri Paduka seorang pemimpin yang disegani.
"Ia adalah majlis besar yang disambut penuh megah dan beremosi. Sangat teruja (menyaksikan) Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka, saya fikir, baginda adalah pemimpin hebat yang melakukan banyak perkara untuk Malaysia dan juga hubungan Perancis-Malaysia.
"Seri Paduka seorang yang peramah, menyapa dan bertegur sapa dengan kami. Kami berharap dapat berjumpa baginda lagi di Perancis. Dan sekarang kita menantikan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong seterusnya (Sultan Johor Sultan Ibrahim) dan kami teruja untuk bertemu baginda dan bekerjasama dengan baginda untuk kepentingan negara," katanya kepada Bernama selepas majlis itu.
Istiadat Keberangkatan Balik Seri Paduka berdua hari ini berlangsung dengan penuh adat istiadat Kesultanan Melayu bermula dari Istana Negara, Dataran Parlimen dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan berakhir di Kuantan Pahang.
Al-Sultan Abdullah menamatkan tempoh pemerintahan hari ini selepas lima tahun bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16. - Bernama