KUALA LUMPUR - Laungan Daulat Tuanku bergema di sekitar Jalan Parlimen, di sini ketika Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli ketika Istiadat Keberangkatan Pulang, pada Selasa.
Turut kedengaran suara beberapa individu yang mahu bersalam dengan baginda berdua yang diarak kira-kira jam 9 pagi.
Hisham Aziz, 34, berkata, dia sangat teruja apabila berpeluang bertemu dengan kedua pasangan diraja itu.
"Saya sememangnya teringin nak salam dengan Tuanku, Alhamdulillah saya berkesempatan bersalaman.
"Saat ini merupakan antara memori indah yang tak akan saya lupakan sampai bila-bila, saya amat menyayangi kedua mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagi Hafiz Ishak, 33, pula, dia sekeluarga sanggup datang dari Seremban semata-mata untuk menyaksikan detik bersejarah ini.
"Bagi saya amat rugi sekiranya terlepas peluang untuk menyertai istiadat bersejarah ini, ia satu pengalaman bermakna buat saya.
"Semoga baginda berdua sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik dan di bawah lindungan ALLAH sentiasa," katanya.
Orang ramai yang menunggu seawal jam 6 pagi turut tidak melepaskan peluang untuk mendekati baginda berdua yang dibawa menaiki kenderaan melalui sekitar jalan itu.
Turut kelihatan anggota polis yang melakukan kawalan keselamatan di sekitar Jalan Parlimen itu bagi memastikan keadaan ketika istiadat berkenaan berjalan dengan lancar.