Perarakan penuh warna-warni sambut Agong, Permaisuri di KLIA

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama Pasukan Istiadat berkuda yang turut menyertai perarakan menyambut ketibaan Seri Paduka pada Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong ke-16 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini. Foto Bernama

SEPANG - Perarakan megah dan penuh warna-warni menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Menampilkan pesona dan keindahan warisan budaya Melayu, perarakan yang diatur kemas itu bukan sahaja menarik perhatian pasangan diraja, tetapi juga penduduk tempatan dan pelancong yang berkumpul di sekitar KLIA untuk menyaksikan acara yang diadakan bersempena dengan istiadat keberangkatan balik Seri Paduka berdua ke Pahang hari ini.

Iklan
Iklan

Perarakan sejauh kira-kira 200 meter yang bermula dari persimpangan masuk Kompleks Bunga Raya menuju ke anjung kompleks berkenaan merupakan simbolik bagi menghidupkan semula zaman kegemilangan raja-raja Melayu dahulu kala, yang diinspirasikan daripada buku hikayat Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar bersama dua ekor gajah Myan Thon Pian dan Rambai yang mengepalai perarakan menyambut ketibaan Seri Paduka di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Foto Bernama

Dua ekor gajah iaitu Myan Thon Pian dan Rambai mengepalai perarakan itu yang turut disertai pemain genderang, hulubalang gagah perkasa, pembesar istana, kundang, biduanda, embuai, pembawa tombak dan inang istana.

Iklan

Turut serta ialah pembawa sirih junjung, bunga emas, replika pohon beringin, payung kuning dan pembawa panji diraja diikuti rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama.

Ia disusuli dengan kenderaan membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah serta diakhiri dengan 16 ekor kuda daripada Skuadron Istiadat Berkuda Rejimen ke-21 Kor Armor Diraja (Istiadat).

Iklan

Sebanyak 399 peserta antaranya daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta kumpulan kesenian dan kebudayaan beberapa negeri menyertai perarakan yang mengambil masa lebih 30 minit, sambil diiringi lagu nobat diraja yang menggunakan peralatan muzik tradisional Melayu iaitu serunai, nafiri, gendang ibu, gendang anak dan gong. - Bernama