KINABATANGAN - Seorang pemancing ditemukan lemas pada Selasa selepas hanyut di Sungai Milan sejak dua hari lalu dalam kejadian di Kampung Bulot, Tongod, dekat sini.
Mayat Reczelco Aslan, 24, ditemukan dalam keadaan terapung oleh penduduk kampung pada jam 7 pagi di lokasi mangsa dilaporkan hanyut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan Nurul Azlan Shah Jamalluddin berkata, seramai empat anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 157 kilometer dari BBP Kinabatangan selepas menerima laporan berhubung kehilangan mangsa malam Ahad lalu.
"Menurut keterangan rakan mangsa, ketika itu mereka sedang memancing namun semasa kejadian mangsa cuba mengambil botol air yang terjatuh ke sungai.
"Mangsa berenang untuk mengambil botol tersebut dan rakannya ternampak mangsa sempat berpaut pada ranting pokok di tepi sungai namun mangsa akhirnya hanyut dibawa arus deras," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.
Katanya lagi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa segera dilakukan namun pihaknya dimaklumkan mangsa telah ditemui.
"SAR yang memasuki hari ketiga ditamatkan selepas mangsa ditemukan di kawasan Abau-Abau iaitu lokasi tempat mangsa memancing.
"Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.