SEPANG - Pasangan suami isteri antara tiga diberkas di kawasan parkir kondominium di Sepang di sini, dipercayai direkrut menjadi 'keldai' untuk membawa dadah bernilai RM1.2 juta ke Miri, Sarawak pada 24 Januari lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, pemeriksaan pada bagasi dibawa suspek menemui 38 bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah methamphetamine seberat 36.53 kilogram (kg).
"Siasatan mendapati ketiga-tiga suspek ini dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki pesawat ke Miri pada jam 12 tengah hari.
"Mereka ini diupah oleh sindiket dengan bayaran RM10,000 bagi trip terbabit," katanya dalam sidang akhbar di IPD Sepang di sini pada Selasa.
Beliau berkata, polis percaya dadah ini dibawa dari negara jiran sebelum dibungkus di kondominium yang disewa suspek dan usaha mengesan dalang masih dilakukan.
Katanya, dipercayai ini adalah cubaan kali ketiga suspek membawa dadah ke Miri melalui KLIA yang dilakukan sejak pertengahan tahun lalu.
"Soal siasat awal suspek datang dari Sarawak dan sempat bermalam satu hari untuk jalankan aktivitinya.
"Kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun yang didapati positif dadah telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.