SHAH ALAM - Teknologi kecerdasan buatan (AI) menjamin penjimatan masa bagi mengenal pasti sebarang bentuk serangan siber seterusnya membolehkan tindakan pantas diambil bagi melindungi sistem teknologi maklumat (IT) yang digunakan syarikat.
Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Digital Malaysia (YDM), Ts Nasru Syazwan Nawai berkata, selaku organisasi yang turut menawarkan pembelajaran dalam talian, pihaknya memilih penggunaan AI bagi tujuan melindungi sistem yang dibangunkan.
Bahkan menurutnya, aplikasi AI diguna pakai juga merupakan produk yang dibangunkan sendiri oleh pasukan teknologi YDM, selain turut menawarkan langganan kepada individu mahupun syarikat lain.
"Dalam era digital, di mana ancaman siber menjadi semakin canggih, penting bagi setiap entiti kerajaan mahupun perniagaan untuk mengguna pakai langkah keselamatan lanjutan untuk melindungi aset kritikal dan data pelanggan.
"Pasukan kami telah membangunkan produk keselamatan siber iaitu aplikasi Blackhound AiXDR - platform pengesanan dan tindak balas lanjutan dikuasakan AI yang direka khusus untuk menangani cabaran yang berkembang dalam landskap keselamatan siber.
"YDM juga menggunakan aplikasi ini untuk lindungi peralatan IT kami. Ia menjimatkan masa kerana sebelum ini kita gunakan tenaga manusia sepenuhnya jika berlaku serangan siber disebabkan sistem yang bukan automatik. Jadi dengan AI ini, kita boleh kenal pasti dan tindakan dibuat segera," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Nasru Syazwan berkata, berdasarkan pengalamannya mengadaptasikan AI dalam organisasi, ia tidak sepatutnya dilihat sebagai ancaman, sebaliknya merubah landskap pekerjaan apabila turut melibatkan kolaborasi manusia.
Ujarnya, AI sering digunakan untuk meningkatkan produktiviti dan membantu manusia dalam pengambilan keputusan dengan menyediakan analisis data yang lebih cepat dan tepat.
"Bidang pekerjaan yang menggunakan tenaga kerja secara intensif yang melakukan kerja rutin akan digantikan dengan penggunaan AI.
"Sebaliknya, tenaga kerja diperlukan dengan banyak di dalam bidang pembangunan sistem AI ini. Di sini akan melihat peningkatan permintaan untuk pekerjaan 'system developer', 'system integrator', 'coders', 'data analytics' dan beberapa pekerjaan berkemahiran tinggi yang lain," katanya.
Bagaimanapun beliau percaya, tidak semua pekerjaan mampu digantikan dengan AI, sebalik masih bergantung kepada kemampuan manusia bagi pekerjaan yang melibatkan hubungan manusia.