Sindiket edar ganja lumpuh

Iklan
Hussein

SEPANG - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis ganja dalam operasi berasingan di sekitar Lembah Klang, pada 25 Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu bertindak menahan tiga suspek lelaki di hadapan sebuah stesen minyak di Lebuhraya Karak, Gombak dengan rampasan 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.51 kilogram.

Iklan
Iklan

Menurutnya, susulan itu, seorang lagi suspek lelaki berjaya diberkas di Ampang, Selangor.

"Siasatan awal mendapati dadah ini dipercayai diseludup masuk dari negara jiran," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini pada Selasa.

Dadah jenis ganja yang dirampas polis pada 25 Januari lalu di Gombak, Selangor.

Iklan

Beliau berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 20 hingga 33 tahun itu memiliki rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

Dalam perkembangan lain, sepanjang tahun 2023, JSJN Selangor telah menahan 22,859 orang atas pelbagai kesalahan narkotik dengan rampasan dadah bernilai RM154.59 juta.

"Polis mengalukan orang ramai menyalurkan maklumat jenayah dan dadah dalam usaha membanteras aktiviti terbabit," ujarnya.