Alam, Sanum meriahkan perarakan keberangkatan pulang Agong ke Pahang

Iklan
Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Alam dan Sanum mengiringi perarakan keberangkatan pulang Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah ke Pahang pada Selasa.

KUANTAN - Dua gajah denak dari Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Alam dan Sanum dibawa untuk memeriahkan perarakan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang pada Selasa.

Alam, gajah jantan berusia 26 tahun digandingkan bersama Sanum, gajah betina berumur 19 tahun berasal dari hutan Sungai Siput, Perak.

Kehadiran Alam dan Sanum bukan sahaja memeriahkan malah mendapat perhatian orang ramai yang hadir menunggu untuk sambutan keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong ke Pahang pada Selasa.

Iklan
Iklan

Perjalanan perarakan rombongan Tuanku diiringi dua gajah denak itu bermula dari persimpangan Jalan Dato Abu Samah hingga ke persimpangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Penolong Pengarah PKGK, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, Alam dan Sanum bersama dua ekor gajah lain telah dilatih untuk acara itu sejak sebulan lalu.

Iklan

Menurutnya, Alam dan Sanum di bawa untuk ke Kuantan manakala dua ekor lagi untuk perarakan sempena keberangkatan pulang Yang di-Pertuan Agong ke Pahang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Alam (kiri) dan Sanum dijaga rapi petugas terlibat sementara menunggu untuk mengiringi perarakan rombongan Yang di-Pertuan Agong ke Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

"Alam dan Sanum dibawa ke sini (Kuantan) sejak Sabtu untuk persiapan dan latihan.

Iklan

"Semuanya berjalan lancar dan perarakan mengunakan gajah ini berjaya dilaksanakan seperti dirancang sekaligus membantu memeriahkan perarakan bermula dari Jalan Dato Abu Samah ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah sejauh kira-kira 400 meter," katanya.

Beliau berkata demikian di lokasi perarakan di Jalan Telok Sisek di sini pada Selasa.

Perjalanan perarakan rombongan Tuanku diiringi dua gajah denak, Alam dan Sanum bermula dari persimpangan Jalan Dato Abu Samah hingga ke persimpangan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Beliau berkata, perarakan bergajah itu dikendalikan 19 kakitangan dari PKGK dan Jabatan Perhilitan Pahang termasuk dua gembala atau mahut.

"Kehadiran dua gajah denak berhias ini menarik perhatian orang ramai yang sudah menunggu di lokasi ini untuk menyambut kepulangan Tuanku sejak jam 10 pagi lagi," katanya.

Sebelum itu, Terdahulu, rombongan Tuanku diiringi perarakan 16 ekor kuda di sepanjang Jalan Mahkota di hadapan Kompleks Teruntum hingga Pejabat Pos Besar di sini.

Menyambut kepulangan Seri Paduka Baginda pasukan pelambai yang berada di beberapa lokasi berada pergerakan rombongan Tuanku dari Pangkalan Udara Kuantan ke Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini.

Pasukan pelambai terdiri agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi awam dan swasta selain orang ramai.