Tanam pokok pisang tutup jalan berlubang

Iklan
Tular di media sosial yang memaparkan jalan raya di antara Kilometer 117-118 Sandakan ke Lahad Datu yang berlubang ditanam pokok pisang.
KOTA KINABALU - Isu jalan berlubang yang tiada berkesudahan di Sabah sering menarik perhatian warganet seluruh negara.

Kali ini satu hantaran berserta gambar jalan raya berlubang yang ditanam pokok pisang dijadikan tatapan warganet dan seterusnya mencetuskan perbualan hangat di laman media sosial.

Malah tindakan pihak yang menanam pokok pisang berkenaan disifatkan sebagai sindiran pedas kepada jabatan bertanggungjawab menjaga dan memastikan jalan raya di Sabah dalam keadaan baik.

Menurut hantaran dari Facebook milik Muhammad Arifin, lokasi jalan tersebut terletak di antara Kilometer 117-118 Sandakan ke Lahad Datu, Paris 1.

"500 meter dari lokasi kemalangan baru-baru ini.

"Takut JKR (Jabatan Kerja Raya) tak nampak lagi lubang ini, jadi kita bagi dia tanda besar-besar (tanam pokok pisang)," tulisnya.

Hantarannya itu dimuat naik pada Isnin dan sehingga kini mendapat 53 komen selain dikongsi oleh 337 pengguna Facebook yang lain.

Tulis Glen Rodriguez, sepatutnya pokok pisang itu ditanam di sepanjang jalan supaya hasilnya boleh dituai nanti.

Dalam hantarannya itu turut ditulis bersama tanda pagar agensi dan menteri berkaitan termasuk JKR dan menteri dari Sabah serta Persekutuan.