PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Sektor kerajaan khususnya penjawat awam perlu bekerjasama dengan Rasuah Busters (RB) bagi meningkatkan kesedaran integriti dan tadbir urus dalam organisasi.
Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, ia berikutan usaha RB dalam mendidik dan memberi pendedahan mengenai bahaya rasuah diyakini amat penting dalam membawa perubahan kepada negara.
"Kita berada dalam satu sistem di mana dalam penjawat awam, mereka sudah terbiasa (dengan rasuah).
"Slogan yang biasa kita dengar adalah 'saya ikut perintah', tetapi sudah tentu walaupun ada ahli politik sekali pun, kita tidak boleh ikut arahan yang tidak betul.
"Jadi apa yang kita perlu supaya inisiatif yang RB buat itu diteruskan dan diharap sektor kerajaan terutama sekali penjawat awam dan sebagainya bekerjasama dengan RB supaya program-program itu dapat diperluaskan kepada semua jabatan kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab selepas membentangkan keputusan CPI 2023 di ibu negara pada Selasa.
Dalam pada itu, Muhammad berkata, inisiatif yang dibuat RB dalam berkempen serta memberi pendidikan sehingga ke peringkat sekolah perlu diteruskan.
"Jangan lupa kita ada penjawat awam baharu yang akan masuk. Ada yang bersara kemudian lapisan baru akan masuk.
"Jadi penting sangat, mereka diberi pengajaran, integriti, tadbir urus baik dan sebagainya perlu diserap dari peringkat awal.
"Walaupun saya difahamkan, di peringkat institusi pengajian tinggi ada program (mendidik soal rasuah) tetapi bagus juga sekiranya inisiatif seperti RB diteruskan,” jelasnya.