SEGELINTIR orang begitu menjaga wuduknya bagi memudahkannya melakukan apa sahaja termasuk menyentuh mashaf.
Bab memelihara air sembahyang daripada batal itu agak mencabar juga. Maklum sahajalah, banyak kerja hakiki dan rutin dilakukan.
Lebih-lebih lagi apabila berada di kawasan yang padat dengan manusia dan bercampur antara lelaki dan wanita.
Tanpa sengaja tersentuh pula rambut orang ketika berpapasan (berselisih). Apakah status wuduk apabila kita tersentuh atau terpegang rambut orang yang berlainan jantina?
Dalam hal ini, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hanya sentuhan kulit pada kulit secara langsung antara lelaki dan wanita tanpa penghalang yang membatalkan wuduk seseorang.
"Justeru, menyentuh rambut, kuku dan gigi orang yang berlainan jantina dengan kita tidak membatalkan wuduk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1977: Adakah Batal Wuduk Sentuh Rambut Berlainan Jantina sebagaimana dipetik menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan.
Mengulas lanjut tentang sentuhan kulit yang membatalkan wuduk, artikel tersebut menyebut, terdapat dua syarat menyebabkan status air sembahyang menjadi sedemikian.
"Pertama, sentuhan kulit tanpa lapik dan satu lagi adalah bersentuhan dengan ajnabi yang berlainan jantina bukan dalam kalangan mahram.
"Bagaimanapun, andai seseorang tidak yakin dengan apa-apa yang disentuhnya sama ada kulit ajnabi atau tidak, maka ia tidak membatalkan wuduk,” katanya.
Ia sebagaimana pandangan yang disebut dalam Mazhab Syafie dalam kitab Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrat al-Ain bi Muhimmat Ad-din:"Apabila masih ragu-ragu antara memegang rambut ataupun kulit, wuduknya tidak batal seperti tangannya menyentuh kulit yang tidak mengetahui mana satu kulit lelaki atau wanita atau ragu-ragu sama ada menyentuh mahram atau orang lain.”