PORT DICKSON - Beberapa pemilik kedai emas di daerah ini dan Kuala Pilah tidak berhasrat untuk membeli nombor pendaftaran istimewa (NPI) siri GOLD yang ditawarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersempena sambutan sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.
Ada berpendapat penggunaan nombor plat tersebut hanya mendedahkan mereka kepada bahaya kerana mungkin menjadi sasaran penjenayah.
Pengurus Kedai Emas Nur Jannah Kuala Pilah, Noorhasliza Abd Rahman, 43, berkata, sememangnya nombor plat berkenaan dilihat menarik, tetapi dia berpendapat tidak sesuai untuk digunakan oleh pengusaha kedai emas.
"Sudahlah kita ini niaga emas, lepas itu nak guna pula nombor plat GOLD, yang seolah-olah menonjolkan lagi kita ini sebagai pengusaha kedai emas.
"Nanti tak pasal-pasal pula jadi sasaran. Memang tak terfikir saya nak beli nombor itu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Pemilik kedai emas Yong Li Seng di Port Dickson, Mr Leong, 63, pula tidak tertarik untuk membeli nombor berkenaan kerana menganggap ia sebagai satu pembaziran.
Baginya, tiada apa yang istimewa pada nombor plat kereta.
"Saya tak berhasrat beli kereta baharu dan selama ini pun tak pernah beli nombor plat hanya kerana nak nampak ia istimewa.
"Tak dinafikan cantik juga nombor GOLD ini. Tapi kalau saya nak beli, memang tidaklah, melainkan ia percuma," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Seorang pemilik kedai emas di Port Dickson, Mr Tan pula mengakui tertarik dengan nombor siri tersebut, tetapi untuk membelinya tidak sama sekali.
Dia turut berpendapat menggunakan nombor berkenaan seolah-olah memberitahu umum yang dia adalah pemilik kedai emas.
"Sekarang ini penjenayah ada di mana-mana dan kalau kita tak berwaspada dan dedahkan ini secara terbuka sebagai pemilik, memang sengaja cari nahas," katanya.
Sebelum ini media melaporkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, bidaan nombor siri tersebut akan dibuka mulai Khamis ini melalui Sistem Bidaan Nombor Pendaftaran Kenderaan Dalam Talian (JPJeBid) sehingga jam 10 malam 5 Februari ini.