KANGAR - Perlis memerlukan bantuan kerajaan Persekutuan agar infrastruktur industri pelancongan lebih sempurna sempena Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Pengerusi Kelab Usahawan dan Pelancongan Perlis (KUPPs), Ammar Hassan berkata, berikutan itu diharap salah faham yang tercetus antara kerajaan negeri Perlis dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing dapat segera diselesaikan.
Menurutnya, ia untuk manfaat negeri Perlis sekaligus dapat merancakkan sektor pelancongan selain turut menyumbang kepada hasil industri pelancongan negara.
"Isu yang mungkin disalah erti kedua-dua pihak harus segera diselesaikan secara harmoni. Perlis memerlukan bantuan khususnya bajet Persekutuan untuk rancakkan lagi Tahun Melawat Perlis,” katanya di sini pada Selasa.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Perlis kecewa apabila tidak menerima maklum balas berhubung peruntukan daripada MOTAC untuk tujuan naik taraf lokasi pelancongan sempena TMPs 2024-2025.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, King Sing tidak memberi sebarang jawapan berhubung permohonan untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara itu.
Menurutnya, kerajaan negeri memohon peruntukan RM4 juta bagi menaik taraf lapan lokasi pelancongan di Perlis untuk memberi keselesaan kepada pengunjung sempena TMPs 2024-2025.
King Sing kemudian berbalas kenyataan dengan Mohd Shukri dan mendakwa tiada wakil kerajaan Perlis membangkitkan isu permohonan peruntukan khas dalam mesyuarat di Putrajaya 14 November lalu.
Beliau juga mendakwa Exco Perlis tidak hadir dalam mesyuarat tersebut sedangkan Exco pembangunan pelancongan negeri-negeri lain hadir dalam mesyuarat berkenaan setelah dijemput, namun Perlis hanya menghantar pegawai MOTAC sebagai wakil.
Ia menyebabkan Exco Kemajuan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian & Warisan Perlis, Wan Badariah Wan Saad tampil menafikan dakwaan dan memuat naik gambar beliau hadir mesyuarat berkenaan di laman Facebook miliknya.
Pada Jumaat, Wan Badariah memaklumkan pihaknya termasuk Mohd Shukri akan mengadakan pertemuan dengan King Sing dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu peruntukan khas pelancongan yang dimohon.
Dalam pada itu, Ammar yang juga Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perlis (PPPKMPs) berharap Perlis tidak dipinggirkan biarpun negeri itu kini ditadbir oleh parti pembangkang, iaitu Perikatan Nasional (PN).
"MOTAC sewajarnya menyalurkan peruntukan tambahan tersebut walaupun Perlis tidak sealiran politik dengan Persekutuan.
"Perlis kini semakin menyerlah dan berpotensi dalam industri pelancongan kerana banyak lokasi baharu dibangunkan, sejak itu kehadiran pelancong ke Perlis dilihat meningkat termasuk dari luar negara,” ujarnya.
Ammar memaklumkan, berdasarkan data dikeluarkan, lebih 3.2 juta pelancong berkunjung ke Perlis bermula dari Januari sehingga Oktober 2023.
"Ramai suka berkunjung ke Perlis sebab pelbagai tarikan, antaranya makanan di Kuala Perlis yang terkenal sebagai pusat sehenti ikan bakar yang enak dan murah.
"Namun masih ada tempat pelancongan yang perlu dinaik taraf, persekitaran tidak bersih, kawasan becak dan kotor setiap kali hujan, menyebabkan kawasan perkelahan seperti Bukit Jernih yang tidak berturap menjadi tidak menarik dan tidak sesuai sebagai destinasi pelancongan,” jelasnya.
Menurutnya lagi, keprihatinan MOTAC amat diperlukan untuk Perlis menaik taraf beberapa lokasi pelancongan agar dapat menaikkan imej negeri itu di mata pelancong luar.
"Saya yakin Menteri MOTAC seorang yang prihatin dengan gerakan mengaktifkan industri pelancongan.
"Saya akan menulis surat rasmi kepada beliau untuk adakan kunjungan hormat dan berbincang mengenai industri pelancongan di Perlis. Saya juga menyokong usaha Menteri Besar dan Exco Pelancongan Perlis dalam memajukan sektor ini,” ujarnya.