Negeri Sembilan sasar 8 juta pelancong tahun ini

Iklan
Nicole Tan (tengah) bergambar bersama ejen-ejen pelancongan dari Asia Barat selepas mengadakan pertemuan berkenaan produk pelancongan di Negeri Sembilan pada Selasa.

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran seramai 8 juta pelancong ke negeri ini tahun ini termasuk dari negara Asia Barat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, sasaran itu mengambil kira kehadiran pelancong sebelum berlakunya Covid-19 iaitu pada tahun 2018 (7.86 juta) dan 2019 (6.43 juta).

Iklan
Iklan

Menurutnya, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk swasta akan memperhebat acara, promosi serta pakej menarik bagi merancakkan kembali sektor pelancongan sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.

"Selain lebih 200 produk pelancongan utama, kita juga akan berusaha menarik kedatangan pelancong menerusi produk pelancongan pelaburan, pendidikan dan perubatan," katanya selepas mengadakan pertemuan bersama ejen-ejen pelancongan dari Timur Tengah di sebuah hotel pada Selasa.

Nicole Tan (tengah) melihat menu yang disediakan kepada ejen pelancongan dari Asia Barat

Iklan

Ini kerana katanya, trend pelancongan dari negara Asia Barat seperti Oman, Bahrain, Kuwait, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Qatar selain Turkiye, Rusia dan India kini beralih dari pelancongan santai ke pelancongan pelaburan, pendidikan dan perubatan.

Jelasnya, pihaknya akan melaksanakan kajian bagi meningkatkan lagi produk pelancongan perubatan di negeri ini memandangkan trend kehadiran pelancong seumpama itu juga semakin meningkat di negara ini.

Iklan

"Sebagai contoh di Pulau Pinang, mereka ada pasukan khas terdiri daripada pegawai perubatan untuk menarik kehadiran pelancong melalui sektor pelancongan perubatan.

"Ini kerana kos perubatan di Malaysia agak rendah berbanding negara lain. Jadi kita sudah ada beberapa hospital swasta yang mampu menawarkan khidmat perubatan dengan baik,” katanya.