Sultan Ibrahim beri nafas baharu kepada agenda perangi rasuah

Iklan
Jayum Jawan

SHAH ALAM - Pelantikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 seakan memberi nafas baharu dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

Felo Akademi Sains Malaysia, Profesor Datuk Dr Jayum Jawan berkata, kenyataan baginda yang akan ‘memburu’ perasuah membawa mesej jelas bahawa baginda serius dalam menangani isu berkenaan.

Iklan
Iklan

"Baginda juga sebelum ini pernah bertitah dan menzahirkan kerisauan dengan permainan politik yang berlebihan akan mengabaikan suara dan kepentingan rakyat.

"Harapan kita dan semua rakyat, dengan pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong, permainan politik bagi kepentingan individu akan berkurangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah Jayum, sebagai sebuah negara membangun, amatlah malang jika rakyatnya terdiri daripada individu yang masih rendah akhlak.

Jelasnya, sejak beberapa tahun ini, ramai pemimpin yang sepatutnya menjadi contoh dan tauladan, namun terpalit dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa dan rasuah.

Iklan

"Selain itu, adalah tidak patut bagi seorang wakil rakyat yang sudah menang melalui satu platform politik berpindah ke platform lain tanpa melalui proses pilihan semula.

"Undang-undang sudah digubal untuk menyekat wakil rakyat melompat, namun nampaknya tidak berkesan kerana mereka dapat mengatasi undang-undang berkenaan dengan cara yang bijak.

"Sistem demokrasi bergantung kepada prinsip, akhlak dan budi pekerti. Jika wakil rakyat yang mahu melompat atau menyokong orang lain selain parti sendiri, maka itu merupakan keruntuhan akhlak dan budi pekerti,” katanya.

Sultan Ibrahim dalam wawancara bersama The Straits Times Singapura sebelum ini bertitah, mahu memberi tumpuan untuk menghentikan amalan rasuah.

Baginda bertitah, kerajaan yang stabil haruslah konsisten dengan dasar mampan yang diperlukan untuk memperbaiki ekonomi negara.

Baginda turut mencadangkan supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melaporkan terus kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya kepada Parlimen seperti sekarang.