KUANTAN - Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, begitulah gambaran kehidupan daif empat beranak yang berteduh di sebuah rumah tanpa pintu dan tingkap di Kampung Permatang Badak, di sini sejak lapan tahun lalu.
Rohayati Ahmad yang juga ibu tunggal berkata, dia sekeluarga tiada pilihan kecuali terus menetap di rumah serba kekurangan itu yang hanya menunggu masa menyembah bumi.
"Inilah satu-satunya tempat berteduh yang ada. Daripada menyewa, lebih baik saya tinggal di sini, sekurang-kurangnya ia tidak membebankan untuk menyewa rumah lain.
"Kalau ikutkan, rumah ini tergendala sejak kematian suami, Ayub Ibrahim, 62, lapan tahun lalu akibat penyakit jantung dan kencing manis.
"Lagipun, saya tak bekerja dan bergantung sepenuhnya bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Badak hari ini.
Menurutnya, pintu dan tingkap rumah terpaksa dipasang perca kain bagi membolehkan mereka 'beristirahat' dan menutup pandangan mata orang luar terutama jiran tetangga.
"Sebenarnya ada perasaan takut dan risau, namun kami sekeluarga hanya bertawakal kepada ALLAH.
"Kalau ada duit, rumah dah lama siap tapi buat masa sekarang ini saya nak baiki sendiri duit cukup-cukup makan. Kalau kerajaan negeri atau ada pihak berkaitan nak bantu, baikilah rumah ini," katanya.
Rohayati berkata, kedaifan keluarganya turut dibebani dengan keadaan kesihatannya tidak menentu apabila dia yang menghidap kencing manis dan darah tinggi perlu mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.
Bagaimanapun Rohayati berkata, dua anaknya yang bekerja sebagai pekerja kontrak turut membantunya meskipun pendapatan mereka juga tidak menentu.
"Ada kalanya sebulan mereka dapat RM400 hingga RM500, mereka ada hulur tapi tak banyak, cukup untuk buat makan dan buat belanja seorang lagi anak yang masih bersekolah.
"Tapi saya bersyukur kerana jiran-jiran sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar serta banyak membantu anak yang masih bersekolah," katanya.
Dalam pada itu Rohayati berkata, setiap kali musim hujan, rumahnya berisiko tinggi dinaiki air banjir kerana berada di kawasan rendah sehingga mencecah paras dada, malah pernah juga didatangi ular sawa yang menumpang di celah atap rumahnya setiap kali musim tengkujuh.
Keadaan itu memaksanya sekeluarga membuat persiapan awal dengan mengumpul semua dokumen penting supaya mudah dibawa bersama jika rumah dinaiki air.