JASIN - Majikan sebuah kilang perabot di Sungai Rambai dikesan melakukan pelbagai kesalahan selain menyediakan 14 unit penginapan daif kepada pekerja asing tanpa sebarang perakuan penginapan, dalam operasi penguatkuasaan bersepadu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Melaka di sini pada Selasa.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, penginapan rumah kampung jenis kayu didiami 66 pekerja asing membabitkan 30 warga Bangladesh, Nepal (26 orang) dan Myanmar (10 orang) itu juga gagal memenuhi kehendak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).
Beliau berkata, serbuan mendapati majikan tidak menyediakan kemudahan minimum penginapan seperti tilam nipis, tiada almari berkunci, ruang penginapan panas, tiada pengudaraan, melebihi kapasiti dibenarkan selain tandas dan ruang dapur juga sangat kotor serta pendawaian elektrik tidak selamat.
"JTK Melaka akan membuka kertas siasatan bagi kesalahan-kesalahan ditemukan dalam serbuan itu selain rakaman percakapan pekerja dan majikan diambil.
”Jika disabitkan kesalahan ia boleh membawa kepada hukuman denda tidak melebihi RM50,000 bagi setiap kesalahan dikesan," katanya kepada pemberita selepas operasi yang turut dihadiri Pengarah JTK Melaka Naziyah Said di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Hee Sem berkata, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) turut mengeluarkan tiga kompaun bernilai RM250 hingga RM1,000 kerana pemilik menjalankan perniagaan tanpa lesen yang tamat sejak Oktober 2021, selain tidak menjaga kebersihan hostel dan kilang.
Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin juga mengesan premis berkenaan menjadi sarang pembiakan jentik-jentik selain berpotensi untuk pembiakan lalat, lipas dan tikus selain tandas yang kotor.
"Kerajaan negeri memandang serius berhubung penguatkuasaan Akta 446 dan pemantauan berterusan akan dijalankan dalam memastikan pematuhan undang-undang berkenaan penginapan pekerja selain tindakan tegas diambil terhadap majikan terlibat," katanya. - Bernama