LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) membuat keputusan untuk menganjak tarikh sepak mula Liga Malaysia (Liga-M) bagi membolehkan badan pengelola liga itu mengadakan siri perlawanan ujian sistem Video Bantuan Pengadil (VAR).
Menurut MFL, penundaan tarikh itu disebabkan pemeriksaan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) yang sebelum ini dijadual pada Februari ditunda ke tarikh baharu pada 16 hingga 21 April.
Iklan
Iklan
Ia sekali gus menyaksikan saingan Liga-M yang sepatutnya bermula pada 3-5 Mei dianjakkan ke 10-12 Mei.
"Siri perlawanan ujian VAR melibatkan kelab-kelab Liga Malaysia (LIga-M) yang bakal diadakan pada 22 April hingga 5 Mei itu hanya boleh dilakukan selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mendapat kelulusan daripada FIFA.
"Seperti pengumuman MFL sebelum ini, sistem VAR yang bakal digunakan dalam Liga Malaysia tahun ini berkonsepkan mobil VAR dan siri perlawanan ujian itu penting untuk MFL menguji kestabilan, kekukuhan dan ketahanan sistem VAR dalam perlawanan kompetitif yang disiarkan secara langsung," kata MFL dalam satu kenyataan pada Selasa.
MFL berkata, perlawanan ujian itu juga penting untuk menguji pergerakan mobil VAR ke venue-venue, pengurusan penyiaran, pemahaman pegawai dan pasukan serta tahap kesediaan kemudahan venue terlibat.
"MFL kini dalam perbincangan bersama kelab-kelab yang terlibat dengan siri perlawanan ini dan maklumat lanjut mengenai perancangan ini akan diumumkan sebaik sahaja butiran telah dimuktamadkan,” kata kenyataan itu.