NEW DELHI - Malaysia merancang menarik lebih ramai pelajar dari India untuk mempromosi universitinya di luar negara.
Pada masa ini terdapat kira-kira 6,000 warga India menuntut di Malaysia, menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke India, Datuk Muzafar Shah Mustafa pada Selasa semasa melancarkan program biasiswa oleh Binary University secara maya.
Dalam ucapannya, beliau berkata, skim biasiswa 'My Binary International Grant-India' (MyBIG-India) akan menyediakan peluang kepada pelajar dari India untuk mengakses pendidikan berkualiti tinggi di Malaysia.
Universiti berusia 40 tahun itu membuat pengkhususan dalam bidang pengurusan, teknologi maklumat dan keusahawanan.
Pada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama kali keenam yang diketuai menteri luar pada November, Malaysia dan India bersetuju untuk menyegerakan persefahaman dalam bidang pengajian tinggi melalui kerjasama akademik.
Menurut Muzafar, terdapat 106 memorandum persefahaman (MOU) sedia ada antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara.
Beliau berkata, Malaysia juga menyambut baik cadangan pembukaan kampus Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia.
"Malaysia komited untuk menjadi hab bakat dan pengetahuan. Kami menyasarkan untuk menarik dan memupuk individu berbakat dari seluruh dunia dengan berperanan sebagai pusat kecemerlangan untuk menjana, menyebar dan mengaplikasikan pengetahuan," kata Muzafar.
Malaysia menyasarkan menarik 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2025 berbanding kira-kira 130,000 sekarang. - Bernama