KUALA LUMPUR - Penjualan ubat terapi antiretroviral (Highly Active Antiretroviral Therapy - HAART) yang tular di aplikasi X adalah termasuk dalam kategori ubat yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.
Kementerian Kesihatan (KKM) dalam kenyataan memaklumkan ubat itu hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar atau ahli farmasi berdaftar dengan preskripsi daripada pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan perubatan.
"Pengambilan ubat-ubatan ini tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan seseorang pengguna terdedah kepada risiko kemudaratan yang serius,” menurut kenyataan itu.
KKM turut menegaskan bahawa menjual atau membekalkan ubat yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 tanpa lesen yang sah merupakan kesalahan di bawah Seksyen 13 akta berkenaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 32(2) akta sama iaitu denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Menurut KKM, perbuatan menawarkan dan cubaan untuk menjual ubat itu juga adalah satu kesalahan di bawah akta yang sama.
Selain itu, KKM turut memaklumkan semua iklan ubat dan iklan perkhidmatan kesihatan bagi tujuan merawat, mencegah atau mendiagnos penyakit adalah dikawal di bawah Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956.
"Mana-mana pihak yang ingin menyiarkan iklan ini wajib memohon dan mendapatkan kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat (LIU) KKM terlebih dahulu sebelum (iklan) disiarkan.
"Penyiaran iklan tanpa kelulusan LIU adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama,” menurut kenyataan itu.
KKM menggesa orang ramai supaya mendapatkan ubat daripada sumber yang sah dan sentiasa berhati-hati serta tidak mudah terpengaruh dengan mana-mana iklan atau testimoni di laman sesawang atau media sosial dengan dakwaan berkaitan perubatan yang tidak munasabah.
Orang awam boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik sebelum membuat sebarang pembelian menerusi laman sesawang https://www.npra.gov.my di ruangan 'Product Status' atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di talian 03-78835400 atau memuat turun aplikasi NPRA Product Status. - Bernama