PENGANJURAN Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 kali kedua berturut-turut di Selangor membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memperkasa dan mengembangkan budaya sukan di negeri tersebut.
Malah, menurut Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Najwan Halimi, Selangor sebagai tuan rumah juga akan memberikan impak ekonomi dan sosial menerusi pelancongan sukan.
"Selangor berbesar hati mendapat peluang untuk sekali lagi menjadi penganjur Kejohanan Badminton Berpasukan Asia selepas dua tahun.
"Ini juga menjadi bukti kepada kepercayaan komuniti badminton antarabangsa terhadap kemampuan Selangor kejuaraan berprestij sebegini.
"Saya percaya peminat-peminat badminton di Selangor, seluruh Malaysia, Asia dan dunia teruja menantikan aksi berkelas dunia pemain-pemain sepanjang kejohanan tersebut,” katanya.
Sebagai rekod, BATC dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), Shah Alam dari 13 hingga 18 Febuari depan.
Kejuaraan benua anjuran Badminton Asia itu bakal menyaksikan penyertaan kelompok pemain lelaki dan wanita terbaik Asia termasuk pasukan pilihan China, Jepun, Korea Selatan dan penyandang juara Malaysia.
BATC merupakan antara kejuaraan terbesar anjuran Badminton Asia yang memayungi 43 negara anggota dari lima benua kecil Asia.
Edisi Selangor 2024, merupakan edisi kedua selepas Selangor 2022 dengan Kedah menjadi tuan rumah edisi 2018. India merupakan penganjur pertama pada 2016, diikuti Filipina pada 2020.
BATC 2024, kejuaraan yang menawarkan mata ranking kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang dijangka berakhir April depan juga pentas kelayakan ke saingan Piala Thomas dan Uber 2024 di China, Mei ini.