Nasihat Sultan Ibrahim jadi pegangan Onn Hafiz

Iklan
Bagi Onn Hafiz, Sultan Ibrahim bukan sahaja seorang raja yang tegas dan bijaksana, malah sentiasa menitikberatkan kebajikan rakyat.

[MUKADIMAH] Berjiwa rakyat, penyayang dan sering memberi nasihat. Itu antara keperibadian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang membuatkan baginda cukup disayangi rakyat Johor.

Di peringkat Kerajaan Negeri Johor, Sultan Ibrahim cukup menitikberatkan soal rakyat dengan sentiasa memberikan teguran kepada Menteri Besar supaya isu rakyat diselesaikan segera.

Iklan
Iklan

Menyusuri sejarah, enam Menteri Besar berkhidmat di bawah pemerintahan baginda selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010.

Enam Menteri Besar tersebut ialah Tan Sri Abdul Ghani Othman, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Osman Sapian, Datuk Dr Shahruddin Jamal, Datuk Seri Hasni Mohamed dan Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Iklan
Onn Hafiz

Pemasyhuran Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 membawa makna yang cukup besar untuk negara dan rakyat kerana baginda seorang yang berwawasan serta memiliki kebijaksanaan dalam mentadbir.

Ikuti temu bual Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli dan Ketua Biro Sinar Harian Johor, Nor Azura Md Amin dengan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berkongsi kisah mengenai Seri Paduka Baginda.

Iklan

SINAR HARIAN: Selama menjawat jawatan Menteri Besar selepas PRN Johor pada Mac 2022, Datuk dilihat antara pemimpin yang rapat dengan Sultan Ibrahim. Boleh gambarkan keperibadian baginda?

ONN HAFIZ: Baginda seorang raja yang berjiwa rakyat, namun seorang yang tegas dan penyayang.

Paling utama, baginda sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Alhamdulillah, saya berpeluang menghadap baginda sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Biasanya sebelum Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Perbincangan akan diadakan tentang isu-isu yang sedang berlaku di Johor.

Baginda seorang yang sangat teliti dan apa yang dipersembahkan kepada baginda, kepentingan rakyat sentiasa di hadapan.

Sultan Ibrahim banyak menghulurkan bantuan kepada rakyat jelata yang berdepan kesusahan akibat kemiskinan, bencana atau diuji semasa pandemik Covid-19.

Disebabkan itu, baginda tidak teragak-agak menegur dan memberi nasihat agar kerajaan negeri membuat keputusan terbaik untuk rakyat.

Secara peribadi, saya melihat baginda seorang yang berjiwa rakyat, tegas dan penyayang, selain sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan.

Hubungan Istana Johor dengan kerajaan negeri bagaikan isi dengan kuku. Banyak isu rakyat dihadapi secara sederap bersama, sebagai contoh laluan trafik di pintu Malaysia-Singapura membabitkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB). Apa komen Datuk mengenainya?

Banyak perkara membabitkan rakyat sentiasa dititikberatkan baginda, antaranya banjir termasuk projek tebatan banjir.

Isu projek tebatan banjir ini merupakan perkara yang sentiasa ditekankan.

Ia cukup penting bagi mengurangkan isu banjir kerana sekiranya tebatan banjir tidak disiapkan projeknya, isu banjir tidak akan selesai dan banjir akan berulang terjadi.

Selain itu, isu-isu jalan berlubang di Johor juga sentiasa diambil berat.

Begitu juga dengan isu kesesakan lalu lintas laluan darat pintu negara antara Malaysia-Singapura iaitu BSI dan KSAB.

Apatah lagi, Tambak Johor adalah antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru ke republik itu.

Saya masih ingat ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan ke Johor pada tahun 2022 dan seterusnya menghadap Sultan Ibrahim.

Ketika itu, Sultan Ibrahim bertanya kepada Ismail Sabri berkenaan CIQ BSI.

Kunjungan Sinar Harian ke kediaman rasmi Menteri Besar Johor di Saujana Johor Bahru.

Rentetan daripada soalan itu, ‘spot check’ terus dibuat ke CIQ BSI.

Datuk sering dilihat melakukan ‘spot check’ di BSI dan KSAB sehingga menerima banyak komen di media sosial. Ramai memuji tindakan Datuk yang berani turun padang melihat sendiri masalah yang berlaku. Apa komen Datuk mengenainya?

Sultan Ibrahim amat serius dengan masalah rakyat dan mahu ia diselesaikan kerajaan negeri dengan segera.

Baginda juga sering memberikan saya nasihat supaya pandang serius isu rakyat, lebih-lebih lagi BSI dan KSAB ini.

Oleh sebab itu, saya sendiri turun padang untuk memahami dan seterusnya menyelesaikan isu itu, insya-ALLAH.

Kerajaan negeri tidak akan pernah berhenti untuk berusaha mencari jalan penyelesaian kepada isu yang membelenggu penduduk di negeri ini.

Sultan Johor mahu projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dilaksanakan semula selepas ia dibatalkan dua tahun lalu. Bagaimana kerajaan negeri melihat keperluan HSR kepada negara, khususnya Johor?

Dari segi HSR, projek ini telah dibatalkan pada 2021.

Sudah semestinya ia mempunyai impak dari segi pembangunan, ekonomi dan keperluan perhubungan untuk rakyat Malaysia serta Bangsa Johor.

Apabila Sultan Ibrahim mahu projek HSR KL-Singapura yang pernah dibatalkan sebelum ini dihidupkan semula, sudah tentu kerajaan negeri menyambut baik gesaan tersebut.

Onn Hafiz

Sudah tentu projek-projek berimpak tinggi perlu didahulukan terutama yang telah diumumkan sebelum ini seperti pelbagai inisiatif zon khas ekonomi, kesalinghubungan itu cukup penting untuk Johor.

Apabila projek HSR disambung kelak, saya yakin akan berlaku limpahan ekonomi di daerah-daerah atau kawasan yang menjadi stesen HSR ini. Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda.

Sultan Ibrahim sangat terkenal dengan program Jelajah Mahkota Johor (KMJ). Baginda mendekati rakyat turun ke setiap daerah. Apakah antara isu yang Tuanku mahu diberikan perhatian oleh kerajaan semasa KMJ dan program-program lain bersama rakyat?

KMJ sudah dilaksanakan sejak 2001 dan terus menjadi salah satu acara utama tahunan negeri Johor. KMJ telah merapatkan perhubungan Istana Johor di hati rakyat.

Peluang mengikuti KMJ 2023 memberikan banyak pengalaman melihat keperluan dan isu-isu yang perlu ditangani dengan segera.

Malah, Tuanku juga sentiasa memberikan perhatian kepada isu-isu rakyat ketika KMJ. Tidak hairanlah rakyat sentiasa mahukan kawasan mereka yang dilawati ketika KMJ.

Bagaimana Datuk melihat peranan besar dimainkan oleh Sultan Ibrahim dalam membantu kerajaan negeri memacu ekonomi Johor, contohnya dari segi kutipan cukai dan pelaburan asing sehingga membolehkan Johor kekal dalam senarai lima negeri menerima pelaburan langsung asing (FDI) tertinggi di Malaysia pada tahun lepas.

Nasihat Sultan Ibrahim, negeri Johor perlukan kestabilan.

Kestabilan ekonomi akan datang apabila ada kestabilan politik.

Alhamdulillah, Johor mempunyai kestabilan itu apabila kerajaan negeri di bawah pimpinan Barisan Nasional (BN) menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.

Kita selalu mendapat nasihat daripada Sultan Ibrahim tentang hala tuju ini.

Semua sedia maklum hala tuju Johor mahu menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan visinya dari segi FDI, Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP), peluang pekerjaan dan pendapatan setiap keluarga berada pada tahap yang sepatutnya.

Untuk menarik pelabur, Johor perlukan dasar-dasar yang konsisten.

Ia menjadi faktor yang menarik pelabur. Oleh itu, kerajaan perlu mempunyai visi, stabil dan konsisten.

Bagaimana Datuk menggambarkan kasih sayang Tuanku kepada rakyat jelata yang mungkin kini bakal dikongsi bersama 33 juta rakyat Malaysia?

Rakyat Malaysia sangat bertuah apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.

Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta keluarga Diraja Johor sangat menjiwai rakyat.

Sebagai contoh, bantuan Covid-19 mencecah RM180 juta disumbangkan. Ia satu jumlah yang cukup tinggi, lebih banyak berbanding kerajaan negeri mampu sumbangkan.

Selain itu, setiap tahun Sultan Ibrahim menyumbangkan sebanyak 100 ekor lembu untuk disalurkan kepada fakir miskin di setiap daerah.

Ketegasan Tuanku dalam beberapa isu terutamanya rasuah dan integriti menjadi penekanan Tuanku dalam beberapa temu bual bersama media baru-baru ini. Bagaimana Datuk melihat ketegasan Tuanku itu terutamanya untuk pentadbiran kerajaan dan ekonomi negara nanti?

Sultan Ibrahim bukan sahaja boleh memandu kereta tetapi juga boleh mengendalikan helikopter, kereta api, kapal terbang, kebanyakan kenderaan Tuanku boleh kendalikan.

Malah, baginda juga ada pengalaman dari segi ketenteraan.

Baginda pernah nasihatkan sekiranya kita ada wang sebanyak RM10, jangan belanja RM12 tetapi belanjalah RM7.

Ini kerana RM3 dapat digunakan untuk hari-hari yang memerlukan.

Dengan RM7 pun perlu hati-hati supaya tidak berlaku ketirisan.

Apa sahaja yang kerajaan negeri belanjakan, Tuanku akan pastikan sama ada wang tersebut dibelanjakan mengikut kos yang sepatutnya dan akan tengok sekiranya ada penjimatan.

Berdasarkan pengalaman, saya rasa Tuanku akan nasihati kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan supaya tidak ada ketirisan atau rasuah.

Dalam tempoh memasuki hampir dua tahun sebagai Menteri Besar Johor, apakah momen paling manis yang Datuk paling kenang bersama Tuanku?

Ada dua kenangan yang dapat saya kongsi iaitu ketika dikurniakan darjah kebesaran dan berkesempatan menaiki kereta bersama Sultan Ibrahim ke daerah-daerah.

Pada 22 November tahun lalu, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Sultan Ibrahim Johor Yang Amat Disanjungi Pangkat Pertama Dato' Sri Mulia Sultan Ibrahim Johor yang membawa gelaran Datuk.

Apabila dikurniakan darjah kebesaran daripada Sultan Ibrahim ia menjadi satu kenangan cukup manis kerana pengiktirafan yang diberikan walaupun saya masih baharu.

Kedua, kenangan manis apabila saya berkesempatan bersama Sultan Ibrahim berziarah ke setiap daerah.

Sewaktu menaiki kereta dengan Sultan Ibrahim, baginda akan berkongsi cerita pengalaman dan memberikan nasihat.

Saya sedar sebagai seorang pemimpin yang masih muda, banyak yang perlu saya pelajari.

Tuanku pula sarat dengan pengalaman. Peluang keemasan itu saya amat hargai kerana saya peroleh banyak ilmu dan juga nasihat.