PONTIAN - Tiada apa yang lebih menggembirakan Ghazali Ayub, 53 apabila Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai miliknya di Kampung Serkat di sini dikunjungi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Mac tahun lalu.
Ghazali berkata, kopi tenggek yang menjadi menu tarikan utama di kafenya itu menjadi pilihan Sultan Ibrahim dan baginda juga sudi membayar makanan serta minuman pelanggan di kafe.
"Pada 18 Mac tahun lalu, Sultan Ibrahim berkunjung ke kafe saya. Detik itu tidak dapat saya lupakan kerana baginda cukup mesra meluangkan masa beramah mesra dengan pelanggan dan bergambar.
"Saya diberitahu baginda tidak mahu sebarang persiapan. Tuanku mahu yang ‘asli’, apa yang ada di kafe, itu yang disajikan. Lebih kurang jam 4 petang, Tuanku tiba di kafe.
"Tuanku pandu sendiri dari Johor Bahru melalui jambatan Sungai Pulai yang menghubungkan Gelang Patah-Tanjung Bin,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Ghazali, sebaik tiba di kafenya, Sultan Ibrahim beramah mesra dengan pelanggan yang ketika itu agak ramai termasuk pegawai daerah, penghulu dan ketua kampung.
"Ketika itu Sultan Ibrahim memesan kopi O iaitu kopi tenggek. Baginda menikmati hidangan keropok lekor dan kuetiau udang.
"Saya tidak sangka baginda mengajak saya duduk di sebelahnya. Tuanku bertanya bagaimana saya memulakan perniagaan dan mampu menarik ramai pengunjung. Saya ceritakan pengalaman kendalikan perniagaan kafe dan kilang keropok lekor,” katanya.
Bercerita mengenai kopi tenggek, Ghazali berkata, idea memperkenalkan kopi tenggek di kafenya tercetus selepas dia ke Vietnam pada 2014.
"Saya lihat orang Vietnam minum kopi atas cawan ada penapis kopi dan serbuk kopi dalam penapis. Dari situ saya dapat idea untuk perkenalkan kopi tenggek di kafe. Alhamdulillah, kopi tenggek ini mendapat tempat di hati pelanggan,” katanya.
Jelasnya, Kafe Kopi Tenggek Tanjung Piai kini menjadi antara destinasi wajib singgah pengunjung dari Johor dan lain-lain negeri apabila datang ke Tanjung Piai yang dikenali sebagai Penghujung Selatan Benua Asia.
Selain itu, Ghazali juga merupakan usahawan Keropok Lekor Crispy Tanjung Piai dan mempunyai kilang perusahaan keropok itu sejak 2006.