Al-Sultan Abdullah angkat wibawa sistem beraja

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Rabu.

SHAH ALAM - Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berjaya mengangkat kewibawaan institusi raja sepanjang lima tahun bersemayam di atas takhta.

Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, ia dapat dilihat dengan peranan yang dimainkan sewaktu negara berdepan pelbagai cabaran, terutamanya ketidakstabilan politik dan kesihatan awam dalam dua tahun terakhir pemerintahan baginda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebelum ini kebanyakan rakyat mengambil mudah peranan institusi raja dan hanya menganggapnya sebagai satu simbolik kepada kedaulatan negara.

Yang di-Pertuan Agong bersama Raja Permaisuri Agong berkenan mengibarkan Jalur Gemilang. - Foto: Bernama

"Tuanku menzahirkan kebijaksanaan baginda untuk mendepani pelbagai isu. Contohnya, apabila berlaku ketidakstabilan politik dengan perubahan kerajaan dan pelantikan Perdana Menteri beberapa kali.

Iklan

"Kebijaksanaan Seri Paduka telah memperlihatkan bagaimana baginda menggembleng peruntukan undang-undang dengan sewajarnya.

"Sehingga akhirnya kita tahu kebijaksanaan Tuanku telah mendatangkan kestabilan politik dan seterusnya menzahirkan kedudukan kerajaan semasa, dinamakan sebagai Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Iklan

Jelas Shamrahayu, kesinambungan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen ini telah memberikan kerahmatan kepada rakyat Malaysia.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berjiwa rakyat. Foto Bernama

Semasa pandemik Covid-19 katanya, Al-Sultan Abdullah telah mengambil beberapa tindakan seperti pengisytiharan darurat di beberapa kawasan bagi mengelakkan jangkitan merebak.

Pada masa yang sama, ada ketika baginda pernah menolak cadangan kerajaan untuk pengisytiharan darurat.

"Baginda fikir pada ketika itu, kita tidak memerlukan keadaan darurat bagi menangani Covid-19, jadi pemerhatian saya ialah kebijaksanaan baginda dalam mengendalikan urusan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ketika lawatan ke Kompleks Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) in Penampang, Sabah pada 7 September 2023. Foto Bernama

"Keduanya, dalam menangani hubungan antara Raja Berperlembagaan dengan Demokrasi Berparlimen, bukan setakat mendengar untuk menurut nasihat. Tuanku mengambil inisiatif membuat keputusan yang baik untuk rakyat,” ujar beliau.

Tambah Shamrahayu, walaupun Malaysia mempunyai dua sistem yang mempunyai tugas masing-masing, namun ia kelihatan serasi semasa pemerintahan baginda.

Al-Sultan Abdullah melawat Institut Perhutanan Sabah pada 5 September 2023 dan disambut oleh ratusan rakyat sempena Kembara Kenali Borneo. Foto Bernama

Ia juga menunjukkan bagaimana kebijaksanaan institusi beraja itu juga amat didambakan dan diperlukan rakyat supaya tidak terbawa-bawa dengan kehendak mereka yang dalam kuasa politik.