KEGAGALAN skuad hoki lelaki negara menamatkan badi 24 tahun untuk meraih slot Sukan Olimpik wajar dilihat secara positif sebagai batu loncatan untuk lebih berdaya saing pada masa depan.
Penganalisis sukan, Rizal Hashim melihat prestasi kurang memberangsangkan skuad The Speedy Tigers dalam aksi kelayakan di Oman baru-baru ini sebagai titik permulaan buat Kesatuan Hoki Malaysia (KHM) untuk menilai semula proses pembangunan sukan itu.
Malah beliau berkata, satu analisis terperinci juga perlu dilakukan melibatkan langkah jangka pendek sehingga kepada pembentukan satu hala tuju jelas untuk tempoh panjang.
Pada masa sama tambahnya, KHM perlu mengkaji semula sistem piramid pembangunan sedia ada, pertandingan yang diadakan memadai untuk membekalkan material mencukupi untuk diasah dan ditonjolkan ke pentas antarabangsa.
"Bagi jangka masa sederhana - perkasakan Liga Remaja dan seterusnya untuk tempoh panjang sediakan blueprint buat skuad negara. Perlu gilap para pemain dalam lingkungan usia 16 tahun ke atas.
"Buka buku baharu dengan menetapkan sasaran untuk dua kitaran Olimpik 2028 di Los Angeles dan 2032 di Brisbane,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj itu menamatkan kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 dalam kedudukan kelima di Muscat.
Speedy Tigers sebelum itu gagal layak ke Paris yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, selepas menamatkan saingan peringkat Kumpulan A di kedudukan tercorot dengan satu mata, di belakang Great Britain yang muncul juara kumpulan (sembilan mata), Pakistan (empat mata) dan China (tiga mata), baru-baru ini.
Rizal menjelaskan kegagalan skuad hoki negara layak ke Sukan Olimpik di Paris tidak mengejutkan berasaskan keputusan di Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.
Malah beliau turut bersimpati dengan Arul kerana telah membawa perubahan daripada segi menguruskan modal insan dalam pasukan.
"Arul mendidik anak buahnya untuk mengambil tanggungjawab daripada segi perancangan pasukan selain mendapatkan sokongan padu daripada anggota keluarga setiap pemain untuk berkongsi hala tuju yang sama,” katanya.
Malah Rizal turut berkongsi mengenai masa depan dan cabaran Arul untuk menguruskan skuad hoki negara.
"Andai kontrak dilanjutkan, Arul tetap berdepan cabaran membentuk pasukan yang berwibawa disebabkan jangkaan ada enam atau tujuh pemain senior akan bersara. Pemain junior kena cepat matang disebabkan ada jurang antara senior dan junior.
"Jika kontraknya tidak disambung, Arul akan pulang ke pangkuan keluarganya di Dublin dan kembali mengendalikan kelab di sana. Jika begitu, KHM kena cari pengganti yang sesuai,” katanya.