JOHOR BAHRU - Peluang menyaksikan rombongan keberangkatan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar ke Istana Negara pada pagi Rabu, tidak dilepaskan rakyat Johor termasuk mereka yang mencari rezeki di Singapura.
K Vadivelu, 48 yang bekerja sebagai pembantu kargo di Lapangan Terbang Changi, Singapura sanggup datang dari tempat kerjanya menuju ke Jalan Skudai di hadapan Kampung Pasir.
"Selepas habis bekerja pada jam 5 pagi, saya terus menunggang motosikal dari tempat kerja di Singapura. Perjalanan lancar melalui Tambak Johor dan saya tiba di Kampung Pasir pada jam 6 pagi dan terus bersarapan.
"Kemudian saya tunggu di tepi jalan bersama orang ramai untuk mengalukan rombongan diraja. Tidak sangka saya dapat menyaksikan detik bersejarah ini," katanya ketika ditemui pada pagi Rabu.
Menurut K Vadivelu, Sultan Ibrahim cukup prihatin dengan terhadap masyarakat India dan sering menghulurkan bantuan.
Sementara itu, Hasbullah Halim 53 yang bekerja sebagai koordinator di Singapura sanggup mengambil cuti untuk bersama isteri Siti Hasmah Rahmat, 43 dan dua orang anaknya menunggu rombongan Sultan Ibrahim.
Katanya, selepas mengetahui tentang keberangkatan Sultan Ibrahim melalui pelbagai berita yang disiarkan sejak seminggu lalu, dia sudah merancang untuk mengambil cuti.
"Saya tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan detik penuh bersejarah ini. Tambahan pula anak Mohd Shah Iqram,10 dan Nur Aishah Ufairah, 9 sering bertanya tentang Sultan Ibrahim dan mahu menyaksikan rombongan diraja.
"Seawal jam 6 pagi kami sekeluarga sudah keluar dari rumah di Perling dan menunggu di hadapan Kampung Pasir," katanya.
Bagi suri rumah Asmah Yusof, 58 pula menunggu seawal jam 6.15 pagi bersama menantunya Dewi Pengiran Samsudin, 35 di hadapan Kampung Pasir.
"Syukur saya diberi peluang bersama menantu menunggu rombongan diraja. Sebagai rakyat Johor saya bangga menyaksikan detik bersejarah ini.
"Sebelum ini, saya dan menantu pernah bersalaman dengan Sultan Ibrahim di rumah terbuka sempena Hari Raya dan Hari Keputeraan baginda di Dataran Bandaraya Johor Bahru pada 2017. Baginda seorang yang sangat ramah dan prihatin," katanya.