Sultan Ibrahim tiba di ibu negara

Iklan
Sultan Johor Sultan Ibrahim selamat tiba di ibu negara pada Rabu bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sultan Johor Sultan Ibrahim selamat tiba di ibu negara bagi menghadiri Istiadat Melafaz Sumpah dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara.

Pesawat peribadi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) yang membawa Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dekat sini kira-kira 9.40 pagi.

Iklan
Iklan

Ketibaan baginda di lapangan terbang disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Laksamana Selangor Tengku Sulaiman Shah Sultan Salahuddin.

Hadir sama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Mej Jen Datuk Indera Indera Zahari Mohd Ariffin, Ketua Pegawai Istiadat Kerajaan Datuk Rozainor Ramli serta Komander Pangkalan Udara TUDM Subang Kol Yusri Jamari turut menyambut keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong.

Iklan

Seri Paduka Baginda kemudian melalui Kawalan Kehormatan Setempat yang terdiri daripada dua pegawai dan 26 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Pertama Regimen Renjer Diraja Istiadat yang memberi Hormat Diraja.

Di luar Pangkalan TUDM, orang ramai berkumpul sejak awal pagi untuk tidak melepaskan peluang menyambut keberangkatan tiba dan memberikan lambaian kasih kepada Seri Paduka Baginda tatkala kenderaan konvoi Diraja bergerak menuju ke Istana Negara. - Bernama.

Iklan