Sultan Nazrin Shah angkat sumpah Timbalan Yang di-Pertuan Agong kali ketiga

Iklan
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat pada Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara pada Rabu. Foto Bernama

IPOH - Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Rabu mengangkat sumpah jawatan untuk kali ketiga sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, peranan yang telah dilaksanakan baginda dengan cemerlang sejak 2016.

Pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja kali ke-263 (Khas) Oktober lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, manakala Sultan Nazrin Shah telah dilantik semula sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh lima tahun mulai 31 Januari.

Iklan
Iklan

Kedua-dua Sultan Ibrahim dan Sultan Nazrin Shah mengangkat sumpah dan menandatangani surat cara memegang jawatan di Istana Negara hari ini, menandakan dedikasi mereka yang tidak berbelah bahagi dalam berkhidmat untuk negara.

Sultan Nazrin Shah telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong dengan penuh dedikasi, dan pelantikan semula ke jawatan itu adalah bukti jelas terhadap prestasi cemerlang baginda.

Iklan

Baginda pernah berkhidmat sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong apabila Sultan Muhammad V menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 2016, dan kemudiannya mengekalkan peranan itu semasa Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari Pahang, memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada tahun 2019, menyerlahkan lagi sumbangannya yang tidak ternilai kepada institusi diraja.

Sultan Nazrin Shah diputerakan pada 27 November 1956, di Georgetown, Pulau Pinang.

Iklan

Baginda dimasyhurkan sebagai Raja Muda Perak pada pada 15 April 1987. Susulan kemangkatan ayahandanya Sultan Azlan Muhibbuddin Shah pada 28 Mei 2014, Dewan Negara Perak telah mencapai kata sepakat memilih baginda sebagai Sultan Perak ke-35 dengan gelaran Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Selain melaksanakan tanggungjawab perlembagaan di Malaysia, Sultan Nazrin Shah turut mengambil tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Panel Kewangan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015-2016.

Baginda juga pernah memainkan peranan sebagai Duta Khas Malaysia ke Dialog Antara Agama dan Antara Kebudayaan di persidangan Perikatan Tamadun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNAOC).

Dalam negara, baginda merupakan Canselor Universiti Malaya. Baginda juga adalah Kolonel Yang Dipertua Rejimen Jurutera Diraja Tentera Darat dan Kolonel Yang Dipertua Kor Kesihatan Diraja Angkatan Tentera Malaysia.

Sultan Nazrin Shah juga merupakan Felo Kehormat Worcester College, Universiti Oxford serta Magdalene College dan St Edmund’s College, Universiti Cambridge.

Baginda juga adalah Ahli Pemegang Amanah Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, Felo Diraja Institusi Pertahanan dan Keselamatan Malaysia; Felow Diraja Institut Kajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa Malaysia; Felow Diraja Institut Keselamatan Awam Malaysia; dan Penaung Diraja Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri Malaysia; Penaung Diraja (sebelum ini Duta Kewangan) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC).

Pendidikan awal baginda bermula di Sekolah Jalan Kuantan, Kuala Lumpur sebelum baginda menyambung pendidikan di Sekolah St. John, Kuala Lumpur, dan seterusnya berangkat ke United Kingdom untuk meneruskan pengajian di The Leys School, Cambridge.

Sultan Nazrin Shah kemudian memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi dari Universiti Oxford, diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Politik Ekonomi dan Kerajaan dari Universiti Harvard.

Baginda diijabkabulkan dengan Tuanku Zara Salim pada 17 Mei 2007 dan dikurniakan seorang putera, Raja Azlan Muzzaffar Shah dan seorang puteri Raja Nazira Safya. - Bernama.