KUALA LUMPUR - Tindakan seorang pemilik butik pengantin di Raub, Pahang menipu bakal pengantin dalam urusan khidmat perancang perkahwinan membabitkan kerugian RM9,000 tahun lalu mengundang padah apabila dia dihukum penjara setahun dan sekali sebatan oleh di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.
Hasmerun Hashim, 31, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula Rabu.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan niat curang telah menipu dengan memperdayakan seorang wanita berusia 29 tahun untuk menyerahkan wang secara berperingkat dalam dua transaksi berjumlah RM9,000 ke akaun bank CIMB atas nama 'Arjuna Cinta Wedding' milik tertuduh.
Dia dituduh memperdayakan bakal pengantin itu dalam urusan mendapatkan khidmat perancang perkahwinan, yang mana dia tidak akan menyerahkannya jika tidak diperdayakan.
Kesalahan dilakukan di sebuah kondominium di Taman Shamelin Perkasa di sini, pada 23 dan 25 Ogos 2023.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun dan dengan sebat, dan hendaklah juga dikenakan denda.
Semasa prosiding, Hasmerun yang tidak diwakili peguam, merayu dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung ibu bapa yang uzur, adik dan anak saudaranya
"Saya juga mohon hukuman sebat digugurkan,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran.
"Tiada sebarang keadaan istimewa untuk gugur hukuman sebat,” katanya.