Padah jual telefon bimbit, aksesori tiruan

Iklan
Anggota penguat kuasa KPDN Perak merampas 11 unit telefon dan 31 unit aksesori telefon palsu dalam serbuan berasingan di dua premis di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Laksamana, pada Isnin.

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu dua premis yang menjual telefon bimbit dan aksesori tiruan di sebuah kompleks beli-belah di Jalan Laksamana, di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan tersebut dibuat sepasukan anggota dan pegawai penguat kuasa KPDN Perak, kira-kira jam 10.30 pagi secara berasingan di kedua-dua premis terbabit.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, serbuan itu dilakukan susulan aduan dari wakil pemilik cap dagangan berkenaan berhubung penjualan telefon bimbit dan aksesori telefon berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis tersebut.

"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu sedang beroperasi dan menjalankan perniagaan menjual telefon serta aksesori peralatan telefon pelbagai jenama disyaki tiruan.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut telah menemui 11 telefon dan 31 aksesori telefon yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kamalludin berkata, premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 manakala nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM10,869.

Iklan

Katanya, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan bagi membantu siasatan dan semua barangan disyaki menggunakan cap dagang palsu serta dokumen berkaitan disita untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau mengingatkan peniaga supaya tidak menjual barangan tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019.

"Ini bertujuan bagi membanteras penjualan barang tiruan seterusnya dapat meningkatkan keyakinan pelabur asing terutamanya di negeri Perak," katanya.

Kamalludin berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan perkara tersebut boleh menyalurkannya ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau melalui saluran-saluran aduan ditetapkan.