SABAK BERNAM - Syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) membantu 200 murid Taman Bimbingan Kanak Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menerusi Program Ikhlas Back to School.
Pengurus Pengurusan Bekalan dan Skim Kilang Beras Bernas Sungai Besar, Muhammad Norhafriz Md Yusop berkata, program sumbangan itu melibatkan 28 Tabika Kemas di Sungai Besar.
Menurut beliau, program itu diharap dapat menyuntik semangat kanak-kanak Tabika Kemas untuk memasuki Tahun Satu pada sesi persekolahan Mac depan.
"Kanak-kanak terpilih ini terdiri dalam kalangan keluarga B40 dan kurang berkemampuan.
"Pemilihan kanak-kanak dijalankan melalui sokongan Pejabat Kemas Daerah Sabak Bernam yang turut sama menjayakan program tersebut," katanya ketika ditemui pada program itu di Kompleks Beras Bernas (KBB) Sungai Besar di sini pada Rabu.
Dalam program itu, setiap kanak-kanak menerima sumbangan barangan iaitu pakaian seragam, kasut sekolah, stoking, pakaian sukan, beg dan set alat tulis.
Beliau memberitahu, program itu diharap dapat membantu meringankan ibu bapa yang kebanyakan terdiri dalam kalangan komuniti pesawah.
"Kami percaya tentang kepentingan memberi kembali dan membentuk hubungan lebih erat dengan masyarakat setempat," jelas beliau.
Selain itu, kata beliau, program berkenaan secara tidak langsung membuktikan komitmen Bernas bagi memastikan anak-anak mendapat pendidikan berkualiti secara inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran kepada mereka seperti yang digariskan di bawah Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4).
Tambah beliau, pendidikan formal penting kerana ia membantu memupuk peribadi dan sifat positif seseorang pelajar yang berpotensi menjadi bakal pemimpin masa depan suatu hari nanti.
"Melalui program ini, kami berharap ia dapat menjadi motivasi untuk anak-anak memulakan langkah pertama mereka ke alam persekolahan.
"Melihat kegembiraan mereka (anak-anak) memilih pakaian seragam yang turut dibantu oleh guru pengiring dan sukarelawan Bernas, membuatkan kami lebih bersemangat untuk meneruskan program ini pada tahun seterusnya," katanya.
Muhammad Norhafriz berkata, Bernas mula aktif menyumbang dan melaksanakan program itu sejak tahun 2016.
"Program kali ini sedikit berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana ia diadakan di Kompleks Kilang Beras Bernas di Sungai Besar.
"Kanak-kanak tabika terpilih juga dapat merasai suasana ala karnival yang turut dibantu oleh guru pengiring dan sukarelawan daripada Bernas," ujar beliau.