KUALA LUMPUR – Seramai empat wanita yang dikaitkan dengan iklan video intim seorang lelaki dikenali ‘Hot Daddy’, didenda antara RM2,500 hingga RM4,800 oleh tiga Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, masing-masing atas satu pertuduhan memiliki video lucah.
Mereka ialah penganggur, Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22, dan pemandu pelancong, Amira Natasha Mohammad, 26, masing-masing didenda RM3,000; penuntut universiti, Nur A’liaa Muhamad Rosly, 22 (RM4,800) serta eksekutif pemasaran, Farah Adila Hanum Khairuddin, 36 (RM2,500).
Semua tertuduh dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah, atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, Noorelynna Hanim Abd Halim dan Illi Marisqa Khalizan.
Mahkamah memerintahkan semua tertuduh ini dipenjara antara satu hingga enam bulan, jika gagal membayar denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, wanita-wanita itu didakwa memilik video lucah itu bagi maksud menunjukkannya secara awam di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di sini jam 5 petang, pada 30 Januari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Semua tertuduh diwakili peguam, Aisya Rahim dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nicholas Cheoh serta Ernie Ahmad.
Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu, akauntan, Norfatihah Ramle, 30, dan penuntut kolej swasta, Felecia Lisa Nandong, 21, mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dibaca di hadapan Majistret, S Arunjothy dan Nurul Izzah Shaharuddin.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama dan dituduh mengikut pertuduhan bawah seksyen serupa.
Kes ini dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiezah Mohamed Fauzi manakala dua tertuduh itu diwakili peguam, Khairunnisa Azzahrah Ghazalie dan Zamier Abu Bakar.
Mahkamah membenarkan Norfatihah diikat jamin sebanyak RM3,000 sementara Felecia Lisa (RM2,000) dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 12 dan 26 Mac depan untuk sebutan semula kes.