ALHAMDULILLAH, kita semua masih bernafas dan sudah berada di tahun 2020, tahun yang digembar-gemburkan sebagai tahun yang paling gemilang buat Malaysia. Pada tahun ini, Malaysia sudah berumur 63 tahun.
Jika Malaysia seorang manusia, Malaysia sudah masuk ke zaman emas, zaman di mana manusia sudah perlu bertenang, tidak lagi kuat marah, beribadah dan bermain dengan cucu-cucu. Settle down bak kata orang putih.
Penulis tidak perlu lagi merungkai lebih lanjut pasal tahun 2020, sebab semua sudah membacanya atau melihat troll di laman sosial. Apa yang penulis hendak adalah melihat tahun 2020 dari perspektif berbeza.
Tahun 2020 ini, walaupun kita masih belum nampak kereta terbang berterbangan di langit, tapi kita tidak boleh nafikan kita sebenarnya tidak memerlukan kereta terbang untuk pergi atau mengetahui apa yang berlaku di seluruh dunia.
Dengan kecanggihan teknologi terutamanya komunikasi, manusia sudah pun berterbangan ke seluruh dunia pada kelajuan yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini.
Sebagai contoh ketika hutan hujan Amazon terbakar, kempen menyelamatkan hutan yang digelar ‘paru-paru dunia’ itu berjalan serentak seluruh dunia.
Pergerakan kempen ini amat besar seolah-olah semua orang menyertainya. Artis, saintis, usahawan, atlet sukan dan ahli politik semuanya jadi penyayang kepada kewujudan hutan.
Kerajaan Brazil mendapat tekanan paling besar dan berusaha bersungguh-sungguh memadam kebakaran hutan yang membakar 2,240,000 ekar ini. Jumlah keluasan ini adalah lebih besar dari Negeri Selangor!
Tapi sebenarnya kebakaran hutan berlaku di seluruh dunia. Di tengah benua Afrika, di Asia Tengah, Siberia, India, Australia dan Asia Tenggara sendiri.
Kebakaran hutan memusnahkan ekosistem dan jutaan ekar hutan hilang. Hutan-hutan ini memerlukan sekurang-kurangnya seratus tahun untuk pulih.
Selain itu, kita juga tidak memerlukan kereta terbang untuk pulang dan bercakap dengan keluarga di kampung terutamanya kepada keluarga yang berada di Sabah, Sarawak dan sebaliknya.
Sebelum ini kita hanya dapat menelefon dan mendengar suara sahaja, tetapi hari ini kita sudah boleh lihat wajah pada masa sebenar atau 'real time'.
Gambar pun sudah 'high definition' dan lancar. Sudah tidak ada alasan lagi untuk tidak dapat berkomunikasi.
Mungkin 10 tahun lagi akan wujud alat komunikasi yang membolehkan kita merasai atau menyentuh orang yang kita hubungi.
Atau setidak-tidaknya wujud alat komunikasi seperti hologram, ala...macam cerita sains fiksyen Star Wars dan seumpama tu. Segalanya adalah mungkin.
Begitu hebat komunikasi yang ada hari ini, kita boleh dengar ibu bapa bergaduh di Sutton-Alpine, Alaska kerana anak mereka berebut tempat di dalam kelas, atau kita boleh tahu kemalangan motosikal di Bhira, di depan Akademi Vivekanand, India seminit selepas ia berlaku walaupun kita berada ribuan kilometer dari tempat kejadian.
Oleh kerana kelajuan maklumat seperti inilah kemungkinan pembangunan kereta terbang tidak menepati jangkaan kita.
Kita tidak perlu lagi datang ke Kuching atau Kangar untuk selesaikan urusan harian kerja, cukup hanya panggilan atau video tele-conference.
Pada tahap yang ada pada hari ini, mungkin manusia perlu jejakkan kaki dahulu di Marikh atau mana-mana bulan di Musytari barulah manusia boleh lihat kereta terbang berterbangan.
Mungkin pada waktu itu, kereta terbang pun sudah tidak diperlukan lagi kerana manusia mencipta alat pengangkutan macam cerita Star Trek yang dinamakan ‘energize transporter’.
Berdiri je dalam kapsul, badan kita akan hilang dan muncul di kapsul destinasi yang kita mahukan. Allahu a'lam.
Sebenarnya pada hari ini, kereta terbang sudah pun dicipta oleh banyak syarikat di seluruh dunia. Prototaipnya pun sudah ditunjukkan kepada dunia. Kereta ini boleh terbang dan berjalan di atas jalan raya seperti kereta lain.
Sebagai contoh AeroMobil, syarikat dari Slovakia yang sudah pun menunjukkan keupayaannya untuk terbang dan mendarat seperti pesawat ringan.
Sudah pasti tidak lama lagi kereta terbang seperti ini akan dipasarkan ke seluruh dunia dan mendapat permintaan tinggi. Untuk permulaan mungkin ia diterbangkan oleh individu kaya untuk tujuan makan angin.
Apapun, memiliki kereta terbang bukannya sama seperti kita memiliki kereta yang kita ada sekarang. Sudah pasti prosedur memilikinya sukar dan memerlukan syarat-syarat ketat yang lain.
Senang cerita semua pemandu kereta terbang adalah juruterbang yang bertauliah dan memiliki pengalaman terbang sekurang-kurangnya 150 jam.
Jadi jangan mimpi mudah memiliki kereta terbang walaupun mempunyai wang yang banyak. Lagipun dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang sukar parkir kereta merata-rata, mungkin mereka ini akan parkir kereta terbang mereka di atas Skybridge KLCC!
Sebelum melihat kereta terbang di langit pada tahun 2020, kita perlu berazam menjadi masyarakat yang lebih baik, bukannya masyarakat dengan sikap yang semakin mengundur ke belakang!
* Mohammad Fairuz Jumaain ialah Penolong Editor Umum Sinar Harian