Langkah kanan June Wei di Thailand

Iklan
June Wei akan menentang pemain Belanda dalam aksi pusingan kedua Thailand Masters pada Rabu. Foto FB BAM

PEMAIN perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei bermula dengan langkah kanan dalam Kejohanan Badminton Thailand Masters 2024 di Bangkok pada Rabu.

Kejayaan pemain di ranking ke-61 dunia itu diraih setelah menumpaskan pemain Republik Czech, Jan Louda dalam saingan pusingan pertama.

Iklan
Iklan

Kemenangan tersebut bagaimanapun bukan diraih dengan mudah apabila June Wei mendapat tentangan sengit pemain yang menghuni ranking ke-50 dunia itu.

June Wei yang tewas dalam aksi set pertama 15-21 bangkit mendominasi permainan untuk mengungguli pertarungan pada dua set berikutnya bagi menoktahkan kemenangan 21-10, 21-15.

Iklan

Pada pusingan 16, June Wei akan menentang pemain Belanda, Mark Caljouw, ranking ke-51 dunia, bagi merebut slot ke peringkat suku akhir kejohanan berstatus Super 300 itu.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Leong Jun Hao apabila kecundang di tangan pemain India, S Sankar Subramaniam dalam pertarungan straight 21-14, 21-17

Iklan

Turut mengikut jejak langkah Jun Hao ialah pemain perseorangan wanita, Wong Ling Ching apabila tewas kepada Ashmita Chaliha dari India 21-10, 21-16.

Nasib sama turut menimpa K Letshanaa yang tumpas kepada pemain tuan rumah, Ratchanok Intanon 21-13,21-9.

Begitu juga dengan gandingan lelaki negara, Chia Wei Jie-Liew Xun yang gagal meneruskan kemenangan pada set pertama 21-10 apabila terpaksa akur kalah kepada pasangan China, He Ji Ting-Ren Xiang 14-21, 19-21.

Skrip sama turut dialami beregu campuran, Choong Hon Jian-Go Pei Kee yang kecundang kepada gandingan tuan rumah, Dechapol Puavaranukhroh-Sapsiree Taerattanachai 21-7, 21-14