KPT tawar 24,000 tempat program diploma, sijil pada hari terbuka

Iklan
Gambar hiasan. Foto 123RF

PUTRAJAYA - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 24,000 tempat bagi permohonan tawaran terus ke program diploma dan sijil di politeknik atau Kolej Komuniti terpilih Sesi II 2023/2024.

Menurut KPT, tawaran itu bersempena dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD2024) yang berlangsung selama empat hari bermula esok hingga 4 Februari di Kompleks Perbadanan Putrajaya.

Iklan
Iklan

"Pelajar dan lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading juga dipelawa ke reruai KPT di nombor 16,” menurut KPT dalam kenyataan hari ini.

Selain itu konsultasi pililhan program melalui sistem UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Jabatan Pendidikan Tinggi turut ditawarkan.

Iklan

KPT memaklumkan pengunjung yang memiliki pengalaman kerja tetapi masih berminat menyambung pengajian di Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di Malaysia turut berpeluang mendapatkan konsultasi berkenaan Program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning - APEL) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Menurut KPT, siswazah yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, tawaran program penajaan dan bantuan kewangan turut disediakan meliputi 15 program menarik.

Iklan

Penganjuran POD2024 adalah bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 dan Ulang Tahun Perbadanan Putrajaya (PPj) ke-28, dengan objektif menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan/produk dari kementerian atau agensi kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik serta pengunjung. - Bernama