BUKIT MERTAJAM - Sebanyak 27,344 ekor babi dilupuskan selepas dijangkiti demam babi Afrika (ASF) dengan kerugian bernilai RM29.5 juta.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang (JPVMPP), Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kesemua babi berkenaan milik 20 pengusaha ladang babi di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.
"ASF mula dikesan di negeri ini sejak 3 Jan 2023 hingga 15 Mac 2023 dan sepanjang tempoh tersebut kami telah melupuskan sebanyak 27,344 ekor babi dijangkiti ASF dan semua 20 penternak haiwan tersebut telah menerima pampasan RM6.2 juta.
"Namun pemantauan dan penguatkuasaan oleh JPVNPP diteruskan dari semasa ke semasa di semua 160 ladang ternakan babi dan tempat penyembelihan di seluruh Pulau Pinang bagi memastikan tiada lagi wabak ASF di negeri ini.
"Selain itu, kami juga mengenakan syarat perlu memohon permit jika mahu melakukan pemindahan babi hidup dan semua babi hidup di dalam negeri ini tidak boleh dibawa keluar dari Pulau Pinang dan begitu juga babi dari luar tidak dibenarkan dibawa masuk ke sini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pada 13 Januari tahun lepas, Pulau Pinang mengisytiharkan wabak ASF sebagai bencana selepas terdapat kes positif ASF dilaporkan di lima ladang babi komersial menjadikan keseluruhan tujuh ladang ternak babi di negeri itu telah dijangkiti ASF.
Pemusnahan babi itu dilakukan menggunakan kaedah gas CO2 (Kepekatan Tinggi) yang mengikut garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan - Pengurusan Pembuangan Haiwan.
Mengulas lanjut, Dr Saira Banu berkata, setakat ini 99 peratus pengusaha ladang babi mematuhi Enakmen Penternakan Babi 2016 iaitu kandang mestilah tertutup dan mempunyai pengurusan sisa kumbahan ladang longkang yang sempurna mengikut biosekuriti.
Katanya, satu peratus lagi itu dalam usaha memastikan mematuhi enakmen tersebut terutama kandang tertutup kerana sebelum ini babi di ladang mereka dijangkiti ASF dan pengusahanya baru bermula semula untuk membela haiwan tersebut.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 265 aduan berkaitan penganiayaan dan kebajikan haiwan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 diterima pihaknya membabitkan kebanyakkan kucing dan anjing sepanjang tahun lepas.
"Daripada jumlah tersebut lima kertas siasatan telah dibuka dan kesemua kes disiasat di bawah seksyen 29(1)(e) iaitu menyebabkan kesakitan dan penderitaan yang tidak sepatutnya terhadap mana-mana haiwan. Kes masih dalam siasatan," katanya. - Bernama