SHAH ALAM - Tanggal 31 Januari 2024 pastinya memahat sejarah tersendiri buat seluruh rakyat Malaysia dan Johor khususnya apabila raja yang disanjungi, Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Ia susulan, mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara pada 27 Oktober tahun lalu memilih raja berjiwa rakyat yang sentiasa membahasakan diri baginda sebagai ‘saya’ itu menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sultan Ibrahim yang diputerakan pada 22 November 1958 di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru ditabal sebagai Sultan Johor pada 23 Januari 2010 pada usia 52 tahun.
Baginda yang merupakan putera sulung kepada Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail dan Almarhumah Enche’ Besar Khalsom Abdullah sebelum itu dimasyhurkan sebagai Tunku Mahkota Johor pada 3 Julai 1981.
Sama seperti kanak-kanak lain, Sultan Ibrahim turut melanjutkan pelajaran yang mana sekolah pertama dimasuki baginda ialah Sekolah Temenggong Abdul Rahman 1 sebelum menyambung pelajaran di Trinity Grammar School di Australia pada 1968 selama dua tahun.
Selepas berada di Australia selama dua tahun, baginda kemudiannya mengikuti pelajaran di Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB).
Di samping itu, Sultan Ibrahim turut bersekolah di Sekolah Agama Bukit Zaharah dan Sekolah Agama Air Molek di Johor Bahru bagi mempelajari asas-asas agama Islam.
Mengikuti jejak langkah kesultanan sebelumnya, Sultan Ibrahim turut terlibat dalam aktiviti ketenteraan, pengurusan dan pentadbiran yang dijadikan asas untuk membina semangat juang, disiplin, kepimpinan dan perwatakan.
Kepimpinan baginda terserlah apabila tamat persekolahan Sultan Ibrahim dilantik sebagai platun komander ketika menjalani latihan ketenteraan di Pusat Latihan Tentera Darat di Kota Tinggi.
Kemudiannya di atas jemputan khas baginda mengambil bahagian dalam latihan ketenteraan untuk pegawai muda di Fort Benning, Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Sultan Ibrahim juga ditauliahkan sebagai anggota pasukan SEAL (tentera laut, udara dan darat).
Selain itu, baginda melakukan beberapa penerjunan di Bandung, Indonesia sebelum ditauliahkan sebagai ahli kehormat Komando Pasukan Khusus (KOPASSUS) Indonesia.
Sekembalinya ke Johor, Sultan Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Pegawai Pemerintah Askar Timbalan Setia Negeri.
Tuanku dalam masa sama turut menjalani latihan juruterbang helikopter dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sultan Ibrahim turut menyertai latihan tentera laut di Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama tiga bulan, sekali gus melengkapkan Seri Paduka Baginda sebagai pegawai tentera darat, laut dan udara.
Bagi mengimbangi latihan ketenteraan dan persediaan menjadi raja yang berwibawa, Tuanku meneruskan pelajaran di Fletcher School of Law and Diplomacy di Boston, Massachusetts AS.
Menelusuri kehidupan peribadi, Sultan Ibrahim mendirikan rumah tangga dengan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 September 1982 dan dikurniakan lima putera serta seorang puteri.
Sinonim dengan keistimewaan program Kembara Mahkota Johor (KMJ) yang diilhamkan sendiri Seri Paduka Baginda sejak 2001 ketika masih bergelar Tunku Mahkota Johor, Sultan Ibrahim cukup dikenali sebagai sultan berjiwa rakyat.
Program Kembara Mahkota Johor dengan konvoi motosikal berkuasa tinggi dijadikan acara tahunan yang disertai Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan negeri bagi melaksanakan pelbagai projek kebajikan di sepanjang laluan jelajah di semua 10 daerah.
Menyentuh mengenai hobi, baginda sangat meminati sukan polo dan telah membawa Yang di-Pertuan Agong menyertai kejohanan peringkat antarabangsa.
Tuanku juga meminati sukan tenis, luncur layar, menembak, memandu dan payung terjun.
Pada 29 Jun 2010, Sultan Ibrahim mencipta sejarah apabila memperoleh Lesen Memandu Kereta Api Kelas 26 setelah menyempurnakan acara pusingan lokomotif seberat 86 tan menggunakan alat turn table serta menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records sebagai sultan pertama memandu kereta api secara rasmi.
Harapan besar kira-kira 33 juta rakyat Malaysia untuk melihat Sultan Ibrahim terus menjadi peneraju dan pelindung mereka selari dengan ungkapan raja dan rakyat berpisah tiada.
Dirgahayu Tuanku.
PROFIL
Nama: Sultan Ibrahim
Umur: 65 tahun
Tarikh angkat sumpah Yang di-Pertuan Agong ke-17: 31 Januari 2024
Permaisuri: Raja Zarith Sofiah
Anakanda:
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail
Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah
Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman
Tunku Abdul Jalil Iskandar Ibrahim Ismail (mangkat pada usia 25 tahun pada 2015 akibat kanser hati)
Tunku Abdul Rahman Hassanal Jeffri
Tunku Abu Bakar Mahmood Iskandar Ibrahim
Pendidikan: Sekolah Undang-Undang dan Diplomasi Fletcher di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat