Israel tembak mati penduduk Gaza bawa bendera putih

Iklan
Penduduk Gaza membawa bendera putih kerana dianggap sebagai simbol selamat untuk mendapatkan perlindungan.

GENTING GAZA - Selama lebih 35 tahun, Hala Khreis berkhidmat sebagai guru Arab di sebuah sekolah di Genting Gaza.

Bekas guru berusia 57 tahun itu menghabiskan tempoh persaraan bersama anak dan cucu di rumah impiannya.

Iklan
Iklan

Namun, ketenteraman keluarganya terganggu dek perang genosid dilancarkan rejim Zionis ke atas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.

Ketika kempen pengeboman semakin sengit, anaknya, Nour cuba memujuk wanita itu untuk melarikan diri dari Bandar Gaza ke Rafah yang dianggap sebagai ‘lokasi selamat’.

Iklan

Bagaimanapun, Hala berkeras mahu kekal di rumahnya yang menjadi ‘syurga’ buatnya.

Pada 12 November 2023, pendirian wanita itu akhirnya berubah apabila dia memutuskan untuk berpindah bersama keluarganya ke selatan Gaza berikutan serangan bertalu-talu rejim Zionis yang turut memusnahkan kediamannya.

Iklan

Hala memimpin tangan cucunya, Tayem, 5, sambil kanak-kanak itu memegang bendera putih ketika dia mengetuai kumpulan penduduk yang menuju ke bahagian selatan wilayah tersebut.

Tidak lama selepas itu, Hala terbaring berlumuran darah setelah menjadi sasaran penembak tepat Israel dan ‘perjalanan’ Hala terhenti di situ.

Saksi mendakwa penembak tepat rejim Zionis terus melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah kumpulan penduduk Palestin itu selepas menembak mati Hala.

Keluarga Hala mengambil risiko untuk membawa pulang mayatnya dan dikebumikan di kawasan berhampiran runtuhan rumah mereka.

Mereka juga berharap dapat kembali semula ke situ dan melakukan pengebumian yang lebih sempurna.

Sekumpulan lelaki Palestin yang mengibarkan bendera putih sebelum menjadi sasaran penembak tepat Israel.

ISRAEL TIDAK BERPERIKEMANUSIAAN

Dalam insiden berasingan, seorang lelaki tidak bersenjata juga ditembak mati ketika mangsa sedang mengangkat bendera putih.

Pada 24 Januari lalu, wartawan Palestin, Mohammed Abu Safia sedang menemu ramah Ramzi Abu Sahloul, 51, ketika dia mahu berpindah bersama keluarganya dari Khan Yunis yang pada mulanya ditetapkan sebagai ‘zon selamat’ oleh Israel.

Selepas temu ramah itu berakhir, Ramzi menyertai sekumpulan lelaki lain mengibarkan bendera putih.

Beberapa minit kemudian, mangsa ditembak pada bahagian dada dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menerusi rakaman video yang menjadi tular, anaknya, Mohammed turut dilihat meraung tidak dapat menahan kesedihan apabila melihat sekujur tubuh ayahnya terbaring.

Sebelum nyawanya diragut tanpa perikemanusiaan, Ramzi yang menjual pakaian kanak-kanak sebagai punca mata pencariannya menzahirkan rasa kecewa kerana tiada lagi tempat selamat di Gaza.

Sebuah lagi klip menyayat hati menunjukkan dua beradik yang berpelukan terbaring dalam keadaan berlumuran darah di tengah jalan setelah mereka maut ditembak dalam kejadian pada 25 Januari lalu.

Nahed Adel Barbakh, 14, menjadi sasaran kezaliman Israel kerana mangsa memegang bendera putih ketika mahu berpindah ke al-Mawasi.

Saksi mendakwa kanak-kanak itu ditembak ketika mahu melintas jalan kira-kira tiga meter dari rumahnya.

"Mangsa cuba berdiri semula walaupun kakinya sudah cedera tetapi dia ditembak lagi oleh penembak tepat Israel ketika cuba meminta tolong.

"Abangnya yang mahu menyelamatkannya juga ditembak mati,” ujarnya.

Kezaliman rejim Zionis yang semakin melampau turut mendapat perhatian kumpulan hak asasi manusia.

"Tentera Israel sengaja menyasarkan orang awam dan melakukan pembunuhan terancang.

"Ia adalah bukti yang jelas kekejaman sistematik dan tidak wajar terhadap penduduk Palestin serta perang genosid di Genting Gaza,” tegas pemantau hak asasi manusia, Euro-Med.

Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Palestin, Francesca Albanese menyifatkan insiden pembunuhan kejam ke atas Ramzi sebagai ‘jenayah perang yang disiarkan TV’.

"Apakah jenis justifikasi yang boleh didapati dengan membunuh individu yang mengibarkan bendera putih?

"Apakah bentuk bahaya yang timbul? Mangsa hanya bercakap dengan wartawan,” katanya.

Di sebalik beberapa insiden yang berlaku di bumi Gaza itu, Majlis Pelarian Norway berpendapat kejadian ‘pembunuhan bendera putih’ adalah bukti jenayah perang. - Agensi


INFO

- Pada 2009, tujuh insiden melibatkan 11 penduduk Palestin maut ditembak kerana membawa bendera putih.

- Menurut peraturan konflik bersenjata yang terkandung dalam Konvensyen Geneva, bendera putih merupakan isyarat jelas untuk mendapatkan perlindungan atau menyerah diri ketika perang.

- Namun, tentera Israel tidak mempedulikan undang-undang antarabangsa termasuk bendera putih yang menjadi simbol keamanan.