Ketegasan Sultan Ibrahim demi rakyat dan negara

Iklan
Sultan Ibrahim berkenan berangkat sempena Istiadat Melafaz dan Menandatangani Surat Sumpah Jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Balairung Seri, Istana Negara, pada Rabu. Foto Bernama

31 Januari 2024 menyaksikan momen amat bermakna dan istimewa dalam sejarah Raja Berperlembagaan di Malaysia apabila Sultan Ibrahim melafazkan sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara.

Pemasyhuran Sultan Ibrahim bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada Selasa selepas memenuhi tempoh lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Iklan
Iklan

Pelantikan Sultan Ibrahim disambut dengan penuh gembira oleh seluruh rakyat, bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara, bercampur baur dengan rasa terharu, bersyukur dan bangga.

Jika diimbas kembali, era pemerintahan Al-Sultan Abdullah dilihat begitu mencabar kerana dalam tempoh tersebut, negara berdepan ketidakstabilan politik.

Iklan

Natijah daripada pergolakan politik yang berlaku menyaksikan pelantikan tiga Perdana Menteri tidak sampai satu penggal dan situasi Parlimen tergantung, malah negara juga turut terkesan dengan penularan wabak Covid-19.

Namun, Al-Sultan Abdullah berjaya memainkan peranan dan mengikis persepsi takhta Yang di-Pertuan Agong bukan hanya sekadar simbol.

Iklan

Kecemerlangan itu diharap dapat diteruskan oleh Sultan Ibrahim yang diyakini mampu membawa kestabilan dan kemakmuran berterusan kepada rakyat serta negara tercinta.

Siapa tidak kenal dengan ketegasan Sultan Ibrahim – pemimpin berjiwa rakyat yang lantang dan berani bersuara.

Ketegasan Seri Paduka Baginda bagi memastikan kehidupan rakyat jelata terpelihara, perpaduan kaum dan kestabilan politik terjamin sudah pasti sangat dinanti-nantikan.

Apatah lagi, sebelum ini Sultan Ibrahim sememangnya dilihat tegas memberi teguran terutama terhadap gelagat ahli-ahli politik yang memualkan.

Malah, Sultan Ibrahim juga bertitah, melawan rasuah dan perasuah akan menjadi agenda utama.

Semoga dengan ketegasan dan kebijaksanaan dimiliki Sultan Ibrahim terutama berkaitan rakyat serta dasar kerajaan dapat mencorakkan sinergi baharu antara Istana Negara dan Putrajaya.

Pada masa sama, konsep Kembara Mahkota Johor yang dimulakan Sultan Ibrahim sejak tahun 2001 juga menarik jika diperluaskan ke peringkat nasional sebagai platform Seri Paduka Baginda menyantuni dan memahami apa yang dilalui oleh rakyat.

Marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah. Daulat Tuanku!